
Pelancong tempatan menikmati gelongsor air di Taman Tema Air Myongsasimni, Wonsan-Kalma, Korea Utara. Foto AFP
SEOUL – Korea Utara mengumumkan larangan sementara terhadap kehadiran pelancong asing ke pusat peranginan atau resort pantai yang baharu dibuka di Wonsan, hanya beberapa hari selepas lawatan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov ke lokasi tersebut.
Menurut kenyataan Pentadbiran Pelancongan Nasional Korea Utara minggu ini, pihaknya tidak akan menerima pelancong asing ke Zon Pelancongan Pantai Wonsan-Kalma, tanpa memberikan butiran lanjut.
Resort tepi laut yang digelar media Korea Selatan sebagai ‘Waikiki Korea Utara’ itu merupakan projek peribadi pemimpin Kim Jong-un dan dibuka kepada pelawat tempatan awal bulan ini.
Ia dilengkapi hotel bertingkat tinggi dan taman tema air serta mampu menampung sehingga 20,000 pengunjung.
Sebelum larangan diumumkan, media rasmi Korea Utara melaporkan bahawa kumpulan pelancong dari Rusia dijangka melawat resort tersebut dalam masa terdekat.

Pelancong tempatan melawat Pusat Rekreasi Mokran di Zon Pelancongan Pantai Wonsan-Kalma, Korea Utara. Foto AFP
Menariknya, larangan terhadap pelancong asing diumumkan tidak lama selepas Lavrov memuji resort tersebut sebagai tarikan pelancongan yang baik, semasa lawatannya ke Wonsan minggu lalu.
Jong-un sebelum ini menyatakan pembangunan resort itu akan menjadi antara pencapaian terbesar Korea Utara tahun ini dan berjanji untuk membina lebih banyak zon pelancongan berskala besar dalam masa singkat.
Sementara itu, Kementerian Penyatuan Korea Selatan menjangkakan pelancong antarabangsa ke kawasan tersebut kekal berskala kecil berikutan kekangan penerbangan ke negara tertutup itu.
Dalam perkembangan berkaitan, KCNA melaporkan bahawa Kim Jong-un telah menyuarakan sokongan penuh dan tanpa syarat kepada Rusia dalam konflik di Ukraine, semasa pertemuan beliau dengan Lavrov.
Rusia dijangka memulakan penerbangan dua kali seminggu antara Moscow dan Pyongyang tidak lama lagi. – AFP