Komitmen kemanusiaan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terus utuh apabila Yayasan Nurjiwa yang diasaskannya bersama jenama kecantikan dan kesihatan, Inayah Beauty menyerahkan sumbangan bernilai RM300,000 bagi membaik pulih masjid di Palestin.
Inisiatif ini dijayakan hasil kerjasama erat Inayah Beauty dan Yayasan Nurjiwa yang menyasarkan bantuan kemanusiaan berterusan kepada saudara seagama di bumi bergolak itu. Projek berkenaan dilancarkan pada Ramadan lalu dan kini memasuki fasa penyaluran dana.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira dapat menjalin kerjasama dengan Inayah Beauty. Projek membaik pulih masjid ini akan dilaksanakan oleh wakil Yayasan Nurjiwa yang menetap di kawasan berkenaan.
“Yayasan Nurjiwa sebelum ini turut menubuhkan sebuah sekolah kanak-kanak di Gaza, Afwa Al-Afiyah, sebagai sebahagian daripada misi pendidikan dan perlindungan jangka panjang,” kata Siti.
Siti ditemui XTRA di majlis penyerahan sumbangan terbabit di Ideas Hotel, Kuala Lumpur, petang tadi.
Majlis penyerahan turut diserikan dengan kehadiran figura popular seperti Fasha Sandha, Bella Astillah, Aidil Aziz, Elisya Sandha, Watie Hanifiah, Intan Ladyana, Intan Najuwa dan Syed Saddiq.
Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Inayah Beauty, Dini Latifi, penyerahan sumbangan ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya merupakan seruan solidariti rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang untuk sama-sama membantu mereka yang terkesan.
“Palestin menjadi fokus tahunan buat Inayah Beauty bukan sahaja kerana ikatan solidariti global, tetapi kerana krisis kemanusiaan di sana antara yang paling kritikal dan berpanjangan di dunia.
“Dana sumbangan dikumpul sebahagiannya menerusi jualan produk yang dipromosikan oleh barisan duta jenama dan selebriti terkenal. Sumbangan pengguna terhadap kempen ini juga cukup signifikan.
@xtra_my Cantiknya Siti Nurhaliza, Intan Najuwa, Fasha Sandha, Elisya Sandha, Intan Ladyana, Watie Hanifiah, Bella Astillah & Dini Latifi 😍 YB Syed Saddiq & Aidil Aziz pun ada! Alhamdulillah, Inayah Beauty & Yayasan Nurjiwa serahkan sumbangan bernilai RM300,000 bagi projek membaik pulih Masjid di Palestin. ❤️🤲🏻 #xtramy #xtratonton ♬ original sound – mistahery
“Pelanggan kami gembira apabila mengetahui setiap pembelian mereka menyumbang kepada misi ini. Ia menjadikan produk bukan sekadar keperluan kecantikan, tetapi juga satu bentuk amal,” katanya.
Dini juga berharap agar usaha ini mampu menjadi inspirasi kepada syarikat-syarikat lain untuk turut serta memainkan peranan dalam usaha kemanusiaan.
“Kami percaya, sekecil mana pun usaha, ia tetap memberi makna besar buat mereka yang memerlukan. Kami juga berhasrat untuk menjadikan misi ini sebagai inisiatif tahunan agar lebih banyak manfaat dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya lagi.