Pewartaan fatwa perlu lalui proses teratur, teliti

Pewartaan fatwa perlu lalui proses teratur, teliti

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah pewartaan sesuatu fatwa di negeri ini perlu melalui proses yang teratur dan melalui pelbagai peringkat termasuk penilaian pakar hukum syarak.

Pejabat Sultan Selangor dalam satu kenyataan berkata, baginda bertitah, proses tersebut dilakukan dengan teliti dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak terutama daripada anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan pakar-pakar hukum syarak.

Menurutnya, fatwa yang hendak diputuskan perlu melalui proses pengumpulan data yang lengkap mengandungi maklumat secara menyeluruh serta gambaran tempat tentang sesuatu isu sebelum ia dibincangkan.

“Satu Muzakarah Pakar akan diadakan bagi merungkai sesuatu isu secara tuntas, dihadiri oleh para alim ulama, ahli akademik serta pihak-pihak yang berkaitan dengan isu tersebut di samping penglibatan pegawai-pegawai badan berautoriti.

“Sekiranya belum mendapat resolusi mantap, satu Bahthul Masail (perbahasan isu-isu) akan diadakan. Ia merupakan perbincangan dalam skala yang lebih kecil bagi merungkaikan suatu perkara yang rumit dengan lebih terperinci dan halus,” kata kenyataan itu, hari ini.

Katanya, Sultan Selangor menjelaskan, selepas perbahasan isu-isu diadakan, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa diadakan berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Seksyen 48 (2).

Jelas kenyataan itu, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa, setiap kajian akan dibentangkan dengan penuh nilai ilmiah dan perbincangan dua hala di antara penyelidik dan Ahli Jawatankuasa Fatwa.

“Sighah (penyataan) fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa akan disemak dan diharmonikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengharmonian Fatwa.

“Sighah fatwa itu akan diangkat ke Mesyuarat Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk menimbang teliti fatwa yang dicadangkan seterusnya membuat syor kepada Sultan Selangor untuk mewartakan sesuatu fatwa,” tambahnya.

Kata kenyataan itu lagi, sekiranya Sultan Selangor memberi perkenan untuk mewartakan sesuatu fatwa, ia akan dimaklumkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), kemudian disemak oleh Kamar Penasihat Undang-Undang Selangor sebelum disiarkan di dalam Warta Kerajaan Selangor. – UTUSAN

Scroll to Top