Serbu selepas ada bukti kukuh – Ketua Polis Kelantan

Serbu selepas ada bukti kukuh – Ketua Polis Kelantan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Serbuan di majlis perjumpaan makan-makan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di sebuah rumah banglo di Jalan Kemumin, di sini, baru-baru ini selepas mempunyai bukti yang kukuh.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff berkata, ia hasil risikan daripada polis sebelum serbuan dibuat.

Katanya, sebelum itu, pihaknya juga mendapat aduan daripada pihak yang berkenaan mengenai aktiviti kumpulan itu.

“Selepas itu, pihak polis membuat risikan sebelum serbuan dilakukan pada jam 1.15 pagi dan mendapati ada 20 orang yang berada di dalam rumah itu.

“Kita melakukan serbuan untuk kebaikan semua pihak. Kita hanya nak mencegah amar makruf dan nahi mungkar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, serbuan itu dilakukan demi menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.

Katanya, ia tidak ada kena mengena atau agenda untuk menjatuhkan kerajaan atau reputasi Kelantan.

“Agenda saya jelas untuk keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini. Selain itu, ia termasuk sebagai kerja amar makruf dan nahi mungkar,” katanya.

Terdahulu, beberapa pihak mendakwa kumpul LGBT yang ditahan polis baru-baru ini bukannya berasal dari negeri itu sebaliknya dari negeri lain untuk memburukkan nama Kelantan.

Sebelum itu media melaporkan, perjumpaan makan-makan kumpulan LGBT di sebuah rumah banglo di Jalan Kemumin, di sini, yang dipercayai disertai hampir 100 lelaki diserbu polis.

Serbuan yang dilakukan hasil risikan dan maklumat awam jam 1 pagi pada pertengahan bulan lalu itu turut membawa kepada rampasan ratusan kondom dan ubat HIV.

Ketika serbuan dilakukan, puluhan lelaki sudah pulang dan hanya 20 ditahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top