Esther bangkit jadi Ratu Triatlon di Kampar

Esther bangkit jadi Ratu Triatlon di Kampar

Kampar: Atlet triatlon negara, Esther Joy Chen terus mencuri perhatian di pentas antarabangsa selepas melakar kebangkitan dramatik untuk menjuarai acara wanita Piala Pembangunan Serantau Triatlon Dunia di Kampus Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), di sini, hari ini.

Kemenangan itu menambah koleksi kejuaraan antarabangsa kedua buat atlet berusia 22 tahun itu dalam tempoh dua bulan selepas menjuarai Kejohanan Triatlon Persekutuan Asia Tenggara di Lumut, bulan lalu.

Beraksi di hadapan penyokong tempatan, Esther menepis ketakutan utamanya dalam acara renang, sebelum mempamerkan kayuhan bertenaga ketika berbasikal dan menamatkan perlumbaan dengan larian penuh bersemangat untuk mencatat masa keseluruhan 1 jam 7 minit 18 saat.

Catatan itu membolehkannya menewaskan atlet Indonesia, Renata Berliana Aditya (1:07:36) dan wakil Singapura, Herlene Natasha Yu (1:08:01).

“Saya sangat gembira kerana renang sentiasa menjadi ketakutan terbesar saya. Banyak latihan dilakukan untuk memperbaikinya, walaupun tidak banyak lokasi perairan terbuka di Malaysia. Kayuhan tadi juga sangat sengit apabila empat pelumba cuba saling menjatuhkan antara satu sama lain.

“Saya tidak sangka dapat memintas sesiapa pun di larian terakhir. Apabila penonton menjerit ‘satu lagi!’, saya benar-benar terkejut apabila melintasi garisan penamat sebagai juara,” katanya.

Esther kini berharap kejayaan terbaharunya itu membuka peluang untuk dipilih mewakili negara ke Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.

Dalam saingan lelaki elit, atlet negara Isaac Tan muncul pelumba terbaik Malaysia selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 dengan catatan 1:01:29.

Bagaimanapun, atlet berusia 20 tahun itu mengakui sedikit kecewa kerana gagal mengulangi kejayaan menjuarai Piala Serantau Pembangunan Triatlon Dunia di Tam Chuc, Vietnam, April lalu.

“Saya rasa prestasi kali ini hanya lima daripada 10. Kayuhan agak mengecewakan, walaupun saya berpuas hati dengan renang dan larian. Namun usaha ini tetap penting kerana kami mahu mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk Sukan SEA,” katanya.

Acara lelaki elit dikuasai trio Korea Selatan menerusi Kim Seong-sik (58:09), Choi Gyu-seo (58:15) dan Jeong Woo Sik (58:22).

Korea Selatan turut mengekalkan dominasi dalam acara wanita junior apabila Park Seo-eun mencatat 1:06:11 untuk meraih gelaran.

Kejohanan dua hari anjuran Persatuan Triatlon Perak dengan kerjasama XS Elite Performance itu akan bersambung esok menerusi acara berganti-ganti campuran, kategori umur dan larian santai yang dijangka menutup tirai hujung minggu penuh warna-warni sukan multisport di Kampar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top