Pelajar dibuli akibat cemburu, tangan dan kaki diikat, ditinggalkan di tandas sekolah

Pelajar dibuli akibat cemburu, tangan dan kaki diikat, ditinggalkan di tandas sekolah

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di sini dipercayai menjadi mangsa buli akibat cemburu oleh dua rakan sekolahnya.

Remaja berusia 13 tahun ditemukan dalam keadaan tangan dan kaki diikat menggunakan tali leher serta mulut ditutup dengan sapu tangan.

Kejadian itu dipercayai berlaku Isnin lalu di tandas sekolah berkenaan.

Difahamkan, kejadian itu disedari ibu mangsa yang menunggu di luar sekolah selepas mendapati anaknya tidak keluar dari sekolah seperti biasa selepas tamat waktu persekolahan pada jam 6.30 petang.

Mangsa ditemukan selepas ibu dan pengawal keselamatan sekolah mencarinya di sekitar sekolah sebelum menemukannya di tandas berkenaan.

Remaja perempuan itu dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat cedera ringan di kaki dan tangan serta trauma malah ibu mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, setakat ini polis sudah menahan dua pelajar berusia 13 tahun untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Beliau turut mengesahkan kejadian berlaku di tandas sekolah berkenaan dan punca kejadian dipercayai cemburu sehingga mangsa dibuli.

“Kedua-dua suspek yang juga berusia 13 tahun itu mengaku melakukan perbuatan itu kerana cemburu.

“Siasatan masih dijalankan setakat ini dan suspek direman mengikut Seksyen 323/324 Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top