Pelakon Alya Iman tampil mempertahankan diri dengan membuat laporan polis berhubung tuduhan yang mengaitkan namanya sebagai punca keretakan perkahwinan pasangan selebriti, Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin.
Menurut Alya, atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil, 24, dakwaan tersebut bukan sahaja menjejaskan reputasi sebagai anak seni, malah turut mengganggu kesihatan mentalnya.
Menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik di Instagram Story, Alya menjelaskan dia terpanggil untuk bersuara selepas isu berkenaan menjadi tular di media sosial.
“Akibat isu ini, saya menjadi sasaran tohmahan dan fitnah netizen yang menyebarkan pelbagai kenyataan tidak berasas, mencaci serta melabel saya.
“Segala tuduhan terbabit adalah fitnah yang mencemarkan nama saya. Disebabkan penyebaran fitnah ini, saya mengalami tekanan, kehilangan reputasi, dan kerjaya saya turut terjejas akibat kecaman terbuka oleh masyarakat.
“Spekulasi dan kata-kata kesat yang dilemparkan secara bebas dalam media sosial, berlaku tanpa sebarang bukti sah,” tulisnya.
Alya turut menjelaskan tindakan membuat laporan polis adalah sebahagian daripada usaha mempertahankan maruah diri serta memberi mesej tegas kepada mereka yang menyebarkan maklumat palsu secara semberono.
“Sebagai langkah mempertahankan diri dan maruah saya, saya mengambil tindakan dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa terhadap segala tohmahan serta fitnah yang dilemparkan.
“Saya juga berharap tindakan ini dapat memastikan keadilan ditegakkan melalui saluran undang-undang yang sewajarnya,” tulisnya lagi.
Tambah Alya, tindakan undang-undang ini diambil bagi memberi peringatan agar semua pihak lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan sesuatu maklumat, khususnya di platform digital yang sangat mudah mencetuskan viral tanpa kepastian.
“Saya tidak menafikan saya bukanlah insan sempurna. Namun, apa yang berlaku pada masa silam biarlah menjadi pengajaran.
“Saya memilih untuk tidak mengulanginya dan terus melangkah ke hadapan dengan lebih baik. Akhir kata, saya mendoakan agar semua pihak yang terbabit akan diberkati dan diredai Allah SWT,” ujarnya lagi.
Dalam ruangan sama, Alya turut berkongsi gambar dirinya mengenakan kebaya hijau ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membuat laporan polis terhadap dakwaan yang mencemarkan nama baiknya.