nurul.hidayah@hmetro.com.my
Sepang: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menafikan wujud elemen sabotaj susulan seramai 380,000 pelancong ‘terkandas’ akibat gangguan sistem pagar automatik (e-gate) di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor pada Jumaat dan semalam.
Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, gangguan yang berlaku hanya membabitkan pelancong warga asing dan pihaknya akan melakukan siasatan secara menyeluruh.
“Kami amat kesal dengan apa yang berlaku (gangguan sistem e-gate). Punca isu ini adalah sistem MyIMMS yang diintegrasikan dengan sebuah badan penguat kuasa antarabangsa mengalami masalah teknikal.
“Ia menyebabkan capaian bagi semakan rekod pengunjung menjadi lambat sekali gus menyebabkan kelewatan.
“Saya dimaklumkan kira-kira 380,000 pengunjung di BSI pada Jumaat dan semalam, terjejas akibat permasalahan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Balai Perlepasan, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung punca kejadian itu secara menyeluruh.
“Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh. Apa yang kami lihat setakat ini, ia tidak menjurus kepada isu sabotaj.
“Buat masa ini, saya tidak mahu memberikan sebarang andaian supaya ia tidak lagi memburukkan keadaan,” katanya.
Katanya, operasi sistem e-gate di CQI BSI, Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Terminal 1 serta Terminal 2 KLIA pulih sepenuhnya secara berperingkat, malam tadi.
“Dalam kawalan sempadan, AKPS adalah barisan hadapan, manakala dari segi infrastruktur, sistem dan lain-lain, ia masih diselenggara serta disusun rapi oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Sebab itu, saya dan Ketua Pengarah JIM (Datuk Zakaria Shaaban) bertukar panggilan untuk menyelesaikan masalah di lapangan,” katanya.
Menurutnya, pihak AKPS akan bekerja sebaik mungkin untuk memastikan perkara itu tidak berulang pada masa akan datang.
Semalam, media melaporkan isu gangguan sistem pagar automatik untuk pelawat asing di pintu-pintu masuk utama negara sejak kelmarin berpunca daripada gangguan integrasi data yang menyebabkan proses semakan silang dalam sistem MyIMMS menjadi perlahan.
AKPS dipetik berkata, gangguan itu menyebabkan kesesakan dan barisan menunggu yang panjang di beberapa lokasi utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 serta CIQ BSI dan KSAB.
© New Straits Times Press (M) Bhd