Pelakon Hariz Hamdan tampil memohon maaf susulan video tular memaparkan dirinya bersama Nelydia Senrose yang mencetuskan perbincangan hangat netizen di media sosial baru-baru ini.
Menerusi video tersebut, Nelydia dilihat memeluk lengan Hariz ketika mereka menaiki kereta kabel di Pulau Langkawi, sekali gus mengundang kecaman warganet, memandangkan aktres itu merupakan isteri orang.
Jelas Hariz, video berkenaan dimuat naik semata-mata untuk tujuan peribadi dan promosi drama terbaharunya, Seindah Hujan Cinta bukan dengan niat menimbulkan sebarang isu.
“Sejujurnya, saya hanya mahu mempromosikan drama bersiri Seindah Hujan Cinta yang bakal bersiaran di Tonton. Tak sangka ramai yang mengkritik video terbabit.
“Saya juga enggan salahkan siapa-siapa, tapi saya nak minta maaf jika video yang saya kongsikan itu mencetuskan kontroversi. Saya tiada niat pun untuk cetuskan isu sebab saya kongsikan hanya untuk kenangan saya dengan kawan-kawan serta mempromosikan naskhah terbaharu itu.
“Saya mohon maaf kepada semua. Salah tetap salah, apa yang dilakukan itu tidak seharusnya terjadi dan saya akan pastikan ia tak akan berulang di masa akan datang.
“Saya juga mohon orang ramai berhenti mengecam Nelydia kerana itu merupakan reaksi spontan dirinya yang gugup menaiki kereta kabel,” katanya.
Mengulas lanjut, Hariz menjelaskan situasi tersebut berlaku secara spontan apabila Nelydia mengalami rasa panik ketika berada dalam gondola yang bergerak.
“Ketika itu, kami menjalankan penggambaran di puncak dan menaiki kereta kabel untuk ke atas. Mungkin pada saat itu, Nelydia rasa gugup dan panik, jadi dia tak tahu apa yang dia buat.
“Saya pun tak salahkan dia, bila dia panik kita tak tahu macam mana kita akan bertindak. Disebabkan panik, dia peluk lengan saya. Saya sudah anggap Nelydia sebagai kakak kerana jarak usia kami. Saya baru berusia 23 tahun manakala Nelydia pula berusia 31 tahun.
“Saya dah anggap diri saya adik, jadi saya cuba buat yang terbaik untuk tenangkan dia sebab mungkin dia pada saat itu sangat-sangat memerlukan pertolongan. Apapun, saya mohon maaf,” katanya lagi.
Terdahulu, rakaman pendek tersebut tular di pelbagai platform media sosial dan mencetuskan reaksi pelbagai pihak dan ada yang mempertikaikan tindakan Nelydia, memandangkan statusnya sebagai wanita berstatus isteri.
Selain Hariz dan Nelydia, drama bersiri Seindah Hujan Cinta turut dibintangi oleh Yusuf Bahrin, Ezzanie Jasny dan ramai lagi.
Diarahkan oleh Nizam Zakaria, drama bersiri terbitan Country and Universal Sdn Bhd ini bakal bersiaran di Tonton bermula 21 Julai 2025.