am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dijangka akan memberi penerangan esok berhubung sebarang usul undi tak percaya kepada Perdana Menteri yang mahu dikemuka oleh mana-mana Ahli Parlimen.
“Tunggu esok, terima kasih,” katanya ringkas ketika dihubungi BH hari ini, yang bertanyakan sama ada pejabatnya ada menerima sebarang usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri menjelang persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula esok hingga Ogos depan.
Sementara itu, merujuk Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) esok yang disiar menerusi laman web Parlimen, tiada sebarang usul sedemikian dikemuka oleh mana-mana Ahli Parlimen khususnya dari blok pembangkang.
Sidang Dewan Rakyat yang bermula esok hingga 28 Ogos depan dijangka berlarutan hingga malam dengan tumpuan utama pada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Gesaan supaya pembangkang mengemuka usul tak percaya kepada Perdana Menteri, dicadangkan sendiri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan semalam.
Ia sebagai respon daripada usaha dan tindakan pembangkang yang merancang menganjurkan satu himpunan dijadual pada Sabtu depan untuk mendesaknya supaya berundur.
Untuk rekod, usul undi percaya kepada Perdana Menteri pernah dibentang ke Dewan Rakyat pada 19 Disember 2022, iaitu selepas Anwar dipilih dan dilantik menerajui pentadbiran kerajaan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Ketika itu, usul berkenaan diluluskan dengan undian suara selepas dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong rakan sejawatnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum dibahaskan 12 wakil rakyat dari blok kerajaan dan pembangkang.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad sebelum ini memaklumkan, pihaknya menjangkakan antara 10,000 hingga 15,000 orang akan menyertai Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan pada 26 Julai.
Katanya, pihak penganjur sudah membuat pemakluman kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini dan seramai 2,000 pegawai dan anggota akan ditugaskan bagi membantu melancarkan perhimpunan berkenaan selain menjaga keselamatan peserta dan orang awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd