Bapa nekad botak kepala demi sokong anak lawan barah

Bapa nekad botak kepala demi sokong anak lawan barah

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kulim: Bagi memberi sokongan buat anak perempuannya yang berjuang melawan barah, lelaki ini nekad membotakkan rambutnya.

Mohd Hafiz Abdull Razak, 29, yang menetap di Taman Selasih, di sini, menyedari apa yang dilakukan tidak dapat mengubati derita ditanggung anaknya, Nur Ezra yang menghidap barah neuroblastoma (barah saraf).

Bagaimanapun, dia menganggap ia adalah simbolik kasih sayang seorang bapa terhadap zuriatnya dan kisah meruntun hati dua beranak itu dapat dilihat menerusi video dimuat naik Mohd Hafiz di TikTok.

Berkongsi kisah sebenar, Mohd Hafiz berkata, penyakit dialami menyebabkan Nur Ezra, 18 bulan, mengalami keguguran rambut terutama selepas menjalani kitaran pertama kemoterapi.

Kesannya, rambut Nur Ezra terpaksa dibotakkan walaupun berat untuk Mohd Hafiz dan isteri, Nur Nazihah Abdul Rahman, 30, menerimanya.

“Memang sedih tengok Ezra terpaksa botakkan rambut kerana dia perempuan dan masih kecil sampai tak tahu nak kata apa.

“Jadi kerana mahu Ezra tahu dia tak keseorangan, saya ambil keputusan botakkan rambut di depannya, boleh nampak Ezra seronok kerana rambut saya sepertinya.

“Ikutkan saya pernah botak sebelum ini tapi sudah lama. Cuma tak sangka pula video dikongsikan itu dapat perhatian dan ramai mendoakan Ezra,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Mohd Hafiz yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang kaca berkata, Ezra disahkan menghidap barah pada 15 Jun lalu.

Bagi mendapat kepastian, Mohd Hafiz dan isteri membawa anaknya ke klinik di mana hasil ujian imbasan X-ray menunjukkan ada ketumbuhan sebesar 7.5 sentimeter (sm) pada perut kiri.

“Klinik rujuk kes anak ke hospital dan hasil pemeriksaan menerusi ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), doktor dapati memang ada ketumbuhan sebelum sahkan ia berpunca akibat barah.

“Tak tahu nak gambarkan macam mana perasaan waktu dapat tahu kerana 15 Jun itu adalah tarikh ulang tahun perkahwinan kelima saya dengan isteri.

“Manakala 20 Jun pula hari jadi saya dan esoknya hari bapa. Jadi ia dugaan hebat buat saya tapi mahu atau tidak kena reda dengan ketentuanNya,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak berusia tiga tahun.

Katanya, sejak sakit, Ezra tak boleh berenggang dengan ibunya yang banyak menemaninya jika masuk hospital.

“Paling sedih bila dengar dia kata babah sakit dan babah nak balik (keluar wad). Syukur keluarga ada dan sayang sangat dengan Ezra tambahan dia cucu sulung perempuan ,” katanya yang menerima bantuan dan sokongan daripada kumpulan pesakit barah Hospital Pulau Pinang (HPP).

Biarpun sedih, Mohd Hafiz mengakui belum berputus asa untuk berikhtiar dan mendoakan Ezra dengan harapan anaknya kembali sembuh.

“Esok baru nak buat ujian meta-iodobenzylguanidine (MIBG) (ujian pengimejan yang menggunakan pengesan radioaktif untuk membantu mengenal pasti tumor neuroendokrin dalam badan).

“Sekarang pun sudah seminggu Ezra di Hospital Kulim kerana sel darah putih rendah dan bimbang ada jangkitan kuman.

“Ini ujian buat kami sekeluarga, namun nak sangat tengok Ezra membesar dan bebas barah. Doktor kata harapan sembuh bergantung pada tahap berapa barah,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 152189207007 atas nama Mohd Hafiz Abdull Razak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top