Tindakan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan disifatkan sebagai gimik politik yang tidak menguntungkan rakyat, kata Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Menurut beliau, sekiranya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhasrat untuk terus kekal menerajui parti, maka tiada sebab untuk menolak kesinambungan kepimpinan Anwar sehingga tamat penggal.
“Kerajaan Perpaduan perlu diberi ruang mentadbir sehingga akhir penggal. Selepas itu, biarlah rakyat yang menentukan hala tuju negara melalui pilihan raya umum.
“Jika Tan Sri Abdul Hadi kekal sebagai Presiden Pas, Datuk Seri Anwar juga wajar terus diberi mandat sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
‘Jika Hadi Awang kekal terajui PAS, Anwar juga wajar’
Khairuddin yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO berkata, idealisme perjuangan politik Anwar harus diteruskan demi maslahat rakyat dan kestabilan negara.
Artikel lain: Saya tidak akan turun kecuali terbukti curi duit rakyat – PM Anwar
Mengulas rancangan mengadakan perhimpunan mendesak Perdana Menteri berundur pada 26 Julai ini, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai ‘sarapan orang politik’ dan tidak memberi kesan besar sekiranya rakyat terus kekal rasional.
Dalam masa sama, katanya, pandangan ulama terkenal Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki wajar dijadikan pedoman.
“Saya setuju dengan pandangan Syeikh Wazir yang berpandangan demonstrasi ini hak demokrasi, namun perubahan kerajaan secara kerap tidak sesuai untuk negara.
“Kita sudah lalui tiga pertukaran kerajaan dari 2018 hingga 2022. Cukuplah. Biarlah kerajaan yang ada sekarang diberi peluang menamatkan penggal,” ujarnya.
Syeikh Wazir sebelum ini melahirkan kebimbangan terhadap usaha menjatuhkan Perdana Menteri melalui himpunan, sambil menegaskan pentadbiran sedia ada perlu dikekalkan demi kestabilan pembangunan Islam dan ekonomi negara.
Sumber: FB Ust Dr. Khairuddin at-Takiri