Keputusan seri tak padamkan aura Pacquiao

Keputusan seri tak padamkan aura Pacquiao

Manila: Sorakan gemuruh memecah ruang gimnasium kolej di Manila setiap kali Manny Pacquiao melepaskan tumbukan ke arah Mario Barrios dalam pertarungan di Las Vegas, sebelum suasana bertukar hampa apabila keputusan seri diumumkan selepas 12 pusingan sengit, Ahad lalu.

Parti tontonan luar yang asalnya dijadualkan di kawasan Welfareville terpaksa dipindahkan ke dalam dewan selepas hujan lebat akibat Taufan Tropika Wipha.

Sekitar 2,000 peminat hadir menyaksikan usaha kemunculan semula legenda berusia 46 tahun itu di skrin gergasi di bawah papan skor bola keranjang.

“Saya sedikit kecewa kerana Pacquiao seperti mendahului di pusingan awal,” kata Junel Magday, petinju muda yang hadir bersama pasukannya.

Namun, katanya, semangat dan keberanian Pacquiao menjadi inspirasi.

Pacquiao, yang bangkit daripada kehidupan sebagai penjual jalanan ketika remaja kepada salah seorang petinju terhebat dunia, kekal menjadi ikon di Filipina.

Dahulu, setiap pertarungan Pacquiao seakan menjadi cuti umum tidak rasmi, dengan jalanan sunyi kerana semua menonton aksinya.

Malah, pada 2015, pejuang Muslim dan tentera kerajaan di Mindanao dilaporkan mengadakan gencatan senjata sementara untuk menonton pertarungannya menentang Floyd Mayweather.

Walaupun aura kali ini lebih sederhana, penyokong tegar seperti Alfonso Arvuso, 66, tetap setia hadir seawal 7 pagi bersama dua cucunya.

“Jika Pacquiao menang, kami juga terasa seperti menang,” katanya. Norbien Bailon, 59, sanggup berjalan setengah kilometer walaupun bertongkat.

“Tidak mengapa, walaupun seri. Asalkan dia tidak kalah, sudah berbaloi saya datang,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top