'Nur Anissa sudah mula persekolahan seperti biasa, aktif masuk kawad' – Adibah

'Nur Anissa sudah mula persekolahan seperti biasa, aktif masuk kawad' – Adibah

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas madu pelakon Miera Leyana iaitu Adibah Abdul Mutalib, 52, bersyukur anak-anaknya, Nur Anissa Rosland,14, dan Nurin Tasnim Rosland, 13, gembira tinggal bersamanya selepas mendapat hak penjagaan anak kekal dari Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, Februari lalu.

Adibah ditemui baru-baru ini berkata, Nur Anissa juga sudah berpindah sekolah semula di kediaman mereka di Putrajaya serta sangat sibuk dengan pelbagai aktiviti di sekolah yang disertainya.

“Anak-anak tetap ada melawat bapanya, Rosland dan keluarga di sana, dua kali dalam sebulan mengikut keputusan yang sudah ditetapkan oleh hakim dan mahkamah.

“Setakat ini, Alhamdulillah Nur Anissa juga okay dan sudah memulakan persekolahannya seperti biasa. Dia (Nur Anissa) pun dah dapat rentak dan juga aktif masuk kawad dan bermacam aktiviti kokurikulom yang lain.

“Jadi, sebagai ibu saya pun rasa sangat puas hati,” katanya kepada Harian Metro apabila ditanya mengenai anak keempatnya itu (Nur Anissa) yang sebelum ini menetap secara penjagaan interim bersama bapanya.

Terdahulu, Adibah sebelum ini pernah berjuang hampir dua tahun untuk mendapatkan hak penjagaan anak kekal bagi tiga cahaya mata iaitu Nur Liyana, 20, Nur Anissa dan Nurin Tasnim selepas bekas suami, Rosland Othman, 52, memfailkan tuntutan hadanah pada 24 Mac 2023.

Sebelum itu, Adibah dan Rosland sah bercerai talak satu di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, pada 3 Ogos 2023.

Mereka sebelum itu sudah hidup bersama selama 28 tahun selepas mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima cahaya mata perempuan sepanjang tempoh perkahwinan berkenaan.

Bagaimanapun, Rosland yang juga ahli perniagaan berkahwin kali kedua dengan Miera pada Julai 2020 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka kini dikurniakan dua anak perempuan.

Baru-baru ini, Adibah juga dilaporkan memfailkan permohonan tuntutan nafkah anak, nafkah iddah dan muta’ah terhadap Rosland yang disifatkannya adalah inisiatif wajar diambil oleh pihaknya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top