SKUAD badminton remaja negara menamatkan saingan peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2025 selaku naib juara Kumpulan B selepas tewas 92-110 kepada tuan rumah, Indonesia dalam aksi terakhir di Stadium Tertutup Manahan, Solo pada Ahad.
Malaysia yang turun dengan misi mengekalkan momentum selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut ke atas Macau, Myanmar dan Singapura berdepan cabaran getir apabila Indonesia menurunkan barisan terkuat bagi memastikan kedudukan selaku juara kumpulan menjadi milik mereka.
Daripada 10 perlawanan yang dipertandingkan, skuad negara hanya berjaya meraih satu kemenangan menerusi aksi kedua, apabila gandingan beregu wanita, Low Zi YuâDania Sofea Zaidi menampilkan persembahan mantap untuk menundukkan pasangan Riska AnggrainiâRinjani Kwinara Nastine dengan keputusan 22-20.
Bagaimanapun, wakil negara terpaksa akur dalam sembilan lagi perlawanan, meskipun memberi saingan sengit khususnya dalam acara beregu campuran dan beregu lelaki yang menyaksikan perbezaan mata yang cukup tipis.
Perlawanan pertama menyaksikan perseorangan lelaki negara, Kong Wei Xi tewas 5-11 kepada Moh Zaki Ubaidillah sebelum kemenangan tunggal negara hadir dalam perlawanan kedua.
Dalam aksi ketiga, perseorangan wanita, Oo Shan Zi memberikan tentangan hebat namun tewas tipis 29-33 kepada Thalita Ramadhani Wiryawan.
Beregu campuran pertama, Loh Zi HengâNoraqilah Ramdan hampir mencatat kemenangan namun tewas satu mata, 43-44, kepada gandingan Theodorus Steve KurniawanâLuna Rianty Saffana dalam perlawanan keempat.
Indonesia terus menambah tekanan apabila beregu lelaki negara, Loh Zi HengâTan Zhi Yang, tewas 52-55 kepada pasangan Ikhsan Lintang PramudyaâDevin Artha Wahyudi dalam aksi kelima.
Perlawanan keenam menyaksikan Zaki kembali diturunkan dan sekali lagi menundukkan pemain negara, kali ini Lim Boon Le, 66-60, dalam perseorangan lelaki kedua. Low Zi YuâDania Sofea, yang sebelum itu mencipta kemenangan, gagal mengulangi kejayaan apabila tewas 67-77 kepada RiskaâRinjani dalam aksi beregu wanita kedua.
Perseorangan wanita kedua, Eng Ler Qi, turut gagal menyekat kemaraan Thalita apabila tewas 73-88, manakala Datu Anif Datu AsrahâDania Sofea yang turun dalam beregu campuran kedua turut kecundang 81-99 kepada DevinâRinjani.
Perlawanan penutup menyaksikan Shazmir ShahrulâZulwaqqarizal Redzuan cuba memberikan saingan dalam beregu lelaki pertama, namun usaha mereka belum cukup untuk menafikan kemenangan lawan apabila tewas 92-110 kepada IkhsanâDevin.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia menamatkan kempen peringkat kumpulan dengan tiga kemenangan dan satu kekalahan, seterusnya mengesahkan kemaraan ke suku akhir selaku naib juara kumpulan di belakang Indonesia.
Malaysia kini bakal berdepan ujian getir menentang juara Kumpulan C, China, dalam aksi suku akhir yang dijadual berlangsung pada Isnin.
Sementara itu, pengurus skuad remaja BAJC 2025 negara, Leong Kin Weng mengakui skuad negara berdepan lawan yang jauh lebih kuat apabila tewas kepada pilihan utama kejohanan, Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B berkenaan.
Menurutnya, barisan pemain negara tetap memberikan persembahan terbaik meskipun berdepan tentangan sengit daripada pasukan tuan rumah yang lebih mantap di semua posisi.
âPasukan Indonesia nyata lebih kuat. Persembahan pemain perseorangan lelaki pertama kita, Kong Wei Xi, dalam perlawanan hari ini tidak mencapai tahap yang kami harapkan.
âGandingan beregu wanita negara, Low Zi YuâDania Sofea Zaidi berjaya mengekalkan prestasi dalam perlawanan kedua mereka, namun Oo Shan Zi kelihatan agak gugup dan tidak beraksi seperti yang diharapkan dalam perlawanan ini.
âSecara keseluruhan, Indonesia bermain lebih baik dan mereka memang antara pasukan pilihan dalam kejohanan ini,â katanya.
Mengulas harapan menjelang aksi suku akhir menentang China, Kin Weng berharap para pemain dapat mempamerkan aksi terbaik dan memanfaatkan peluang ini untuk menimba pengalaman berharga menjelang Kejohanan Remaja Dunia.
âMenentang China bukan mudah, mereka umpama âTembok Besarâ yang cukup kukuh.
âSaya berharap pemain-pemain kita akan memberikan aksi maksimum, berjuang habis-habisan dan menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk meraih pendedahan dan pengalaman,â katanya.