Bot karam, seorang lagi masih hilang

Bot karam, seorang lagi masih hilang

am@hmetro.com.my

Kinabatangan: Tiga selamat, manakala seorang lagi hilang dalam kejadian bot karam di sungai di Ladang Temenggong, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, tiga mangsa kesemuanya lelaki berjaya menyelamatkan diri, manakala rakan mereka, Adzly Kassim, 46, hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Otuh, berkata pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Kinabatangan pada jam 11.49 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, pasukan terbabit mengambil masa tiga jam untuk sampai ke lokasi itu yang terletak kira-kira 115 kilometer (km) dari balai.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa di sekitar lokasi bot karam menggunakan bot penduduk kampung.

“Operasi mencari juga membabitkan pasukan polis dan orang awam yang berada di situ. Setakat ini, mangsa belum lagi ditemui,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Hairi berkata, operasi ditangguhkan pada jam 5.30 petang tadi kerana faktor cuaca dan akan disambung esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top