Seremban: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa hampir sejam bertemu ahli PKR dalam Seminar Pemantapan Organisasi Parti dan Jelajah Presiden di sebuah hotel di sini hari ini.
Pertemuan secara tertutup bersama hampir 1,000 ahli parti itu turut dihadiri Naib Presiden merangkap Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.
Hadir sama Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh serta Ketua Wanita Fadhlina Sidek dan Ketua AMK Pusat Muhammad Kamil Munim.
Sebaik selesai program berkenaan, Anwar yang juga Presiden PKR mengadakan mesyuarat secara tertutup bersama Ketua-Ketua Cabang Negeri Sembilan di hotel sama.
Fuziah berkata, perjumpaan bersama pemimpin tertinggi negara itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah pimpinan tertinggi PKR bagi memperkukuh solidariti dan menyatukan kembali pimpinan akar umbi di seluruh negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata sesi tersebut turut melibatkan semua pemimpin cabang sama ada yang menang mahupun tewas dalam pemilihan parti baru-baru ini.
“Kita nak rangkul semua kembali sebab banyak kerja perlu dilaksanakan… kita bukan berlawan dengan musuh, kita berlawan sesama adik-beradik… oleh itu, perpaduan dan kebersamaan ini amat penting untuk menggerakkan parti ke hadapan,” katanya kepada pemberita di sini malam ini.
Fuziah juga berkata, Presiden PKR turut menegaskan bahawa tiada isu penggantungan keanggotaan membabitkan sembilan Ahli Parlimen parti berkenaan seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Beliau berkata, Perdana Menteri menjelaskan perkara itu tidak berbangkit kerana semua Ahli Parlimen berkenaan hanya menyuarakan pandangan berhubung isu rakyat.
“Presiden parti telah menyatakan bahawa isu itu tidak timbul kerana mereka adalah Ahli Parlimen yang berhak menyuarakan isu rakyat cuma teguran kadang-kadang kita perlu berbincang sebelum membuat kenyataan… tidak timbul keadaan sehingga digantung keanggotaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan wujud desakan daripada beberapa pihak dalam PKR termasuk ketua cabang supaya tindakan disiplin seperti menggantung keahlian diambil terhadap Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli serta lapan lagi susulan tindakan mereka mengkritik kontroversi lantikan dalam institusi kehakiman.
© New Straits Times Press (M) Bhd