
Mesej teks pasangan itu akhirnya membongkar perbuatan jenayah mereka. – Foto Agensi
NEW DELHI – Seorang lelaki berusia 35 tahun menjadi mangsa pembunuhan isteri dan adiknya sendiri yang menjalinkan hubungan cinta terlarang.
Polis India pada Sabtu memaklumkan perbuatan jenayah itu terbongkar selepas pihak berkuasa menemui mesej teks berkaitan komplot bunuh antara suspek, Sushmita dan adik iparnya, Rahul Dev.
Mayat mangsa dikenali sebagai Karan Dev ditemui dalam keadaan mencurigakan pada akhir minggu lalu yang kemudiannya membawa kepada penahanan kedua-dua pelaku.
“Pada mulanya Sushmita memaklumkan kepada keluarga mentua tentang Karan yang kononnya terkena renjatan elektrik. Dia kemudiannya dikejarkan ke hospital berhampiran dan diisytiharkan meninggal dunia,” ujar jurucakap pihak berkuasa.
Kedua-dua suspek dan bapa mentuanya turut melarang post-mortem ke atas mayat Karan.
Perbuatan mereka bagaimanapun terbongkar selepas adik mangsa, Kunal menemui mesej teks yang mendedahkan skandal Sushmita bersama Rahul dan butiran terperinci tentang rancangan jahat mereka.
Mesej itu juga menunjukkan wanita itu tergamak mencampurkan 15 pil tidur dalam makanan Karan pada malam 12 Julai, namun ia gagal memberi kesan serta-merta.
Mangsa yang berada dalam keadaan lemah akibat dos ubat berlebihan akhirnya dibunuh dengan renjatan elektrik.
Siasatan mendapati pasangan itu sudah menjalinkan hubungan secara rahsia sejak dua tahun lalu dan motif pembunuhan tersebut adalah merampas harta milik mangsa untuk hidup bersama. – Agensi
Â