Baitulmaqdis: Seramai 93 penduduk Palestin terbunuh, manakala puluhan lagi cedera selepas didakwa ditembak tentera Israel ketika cuba mendapatkan bantuan makanan di Gaza, semalam.
Jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Basal, berkata, 80 mangsa maut di utara Gaza ketika trak bantuan tiba, manakala sembilan lagi ditembak berhampiran lokasi bantuan di Rafah.
Empat lagi terbunuh di tapak bantuan lain di Khan Yunis di selatan Gaza menjadikan jumlah keseluruhan kematian 93 orang.
Menurut Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), konvoi mereka yang membawa 25 trak bantuan turut berdepan tembakan sejurus melepasi pusat pemeriksaan di Bandar Gaza.
“Orang ramai yang kelaparan datang beramai-ramai dan kami menjadi sasaran tembakan,” kata WFP dalam satu kenyataan yang mengutuk kekerasan terhadap orang awam.
Tentera Israel bagaimanapun menafikan angka kematian itu dan mendakwa anggota mereka hanya melepaskan tembakan amaran kerana terancam oleh ribuan orang yang berhimpun.
Insiden seperti ini bukan yang pertama apabila hampir 800 rakyat Gaza yang kelaparan terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan sejak Mei lalu.
Seorang penduduk Bandar Gaza, Qasem Abu Khater, 36, berkata dia cuba mendapatkan sekampit tepung, namun hanya melihat suasana sesak dan mayat bergelimpangan.
“Tentera menembak seperti memburu haiwan di hutan. Mayat bergelimpangan dan tiada siapa dapat membantu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Israel menarik balik permit kediaman ketua Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB di Israel, Jonathan Whittall, yang lantang mengkritik krisis kemanusiaan di Gaza.
Menteri Luar Israel, Gideon Saar, menuduh Whittall menyebar pembohongan mengenai perang Gaza melalui kenyataan di platform X.
Perang tercetus sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan 1,219 orang dengan kebanyakannya yang menjadi mangsa adalah orang awam.
Israel membalas dengan kempen ketenteraan yang kini mengorbankan 58,895 penduduk Gaza, menurut Kementerian Kesihatan di wilayah dikawal Hamas itu.
Menurut PBB, sebanyak 87.8 peratus kawasan Gaza kini berada di bawah arahan pemindahan atau dalam zon ketenteraan Israel menyebabkan 2.1 juta penduduk bersesak di kawasan kecil tanpa kemudahan asas.
© New Straits Times Press (M) Bhd