am@hmetro.com.my
Kuantan: Wanita maut manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki mereka terlanggar seekor anjing di Jalan Kuantan-Maran, berhampiran Pondok Polis Paya Bungor, di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, dalam nahas 6.30 petang itu, penunggang motosikal, Che Zaiton Ahmad, 54, dari Felda Lepar Hilir 4, di sini, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Menurutnya, pemboncengnya Norizura Rohani, 41, pula mengalami luka di beberapa bahagian badan dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
“Kemalangan berlaku ketika dua wanita terbabit dalam perjalanan dari arah Temerloh menghala ke Felda Lepar Hilir.
“Motosikal dinaiki mereka melanggar seekor anjing yang secara tiba-tiba melintas jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Adli berkata, polis meminta saksi kejadian menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pengguna jalan raya dinasihati sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan, khususnya di kawasan kurang pencahayaan dan berisiko tinggi berlaku kemalangan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd