'Keluarga kami murah rezeki mungkin disebabkan Maryam'

'Keluarga kami murah rezeki mungkin disebabkan Maryam'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Dia pernah tengok cermin kemudian tunjuk matanya dan ia membuatkan saya sedih kerana mengenangkan keadaannya,” kata Nur Atikah Zaini yang dikurniakan anak istimewa, Nur Maryam Nasrudin.

Nur Atikah, 34, mengakui tidak mudah untuk membesarkan Nur Maryam, 3, kerana keadaan anak bongsunya tidak seperti kanak-kanak lain.

Menurutnya, ini kerana Maryam yang berstatus orang kurang upaya (OKU) pelbagai dilahirkan dengan klef (sumbing) pada bibir dan lelangit.

Katanya, selain itu kelopak matanya separuh menyebabkan buta mata kanan sebelum disahkan doktor bahawa anaknya tiada saraf telinga, tidak boleh bercakap serta bertutur.

“Terdapat dua lagi sindrom yang kemungkinan ada pada Maryam, namun belum disahkan iaitu Treacher Collins Syndrome (TCS) iaitu penyakit jarang jumpa dan golden har atau kecacatan pada cuping telinga.

“Bagaimanapun, kasih sayang terhadap Maryam membuatkan saya reda dengan ketentuan Ilahi walaupun tidak dapat mendengar suara jauh sekali panggilan ibu,” katanya.

Katanya, dia mengetahui keadaan sumbing anaknya sewaktu kandungan berusia 30 minggu sebelum merujuk ke hospital.

“Selepas bersalin, baru saya tahu Maryam dilahirkan dengan kelopak mata separuh. Apabila menjalani pemeriksaan lanjut pada usia setahun, Maryam tiada saraf telinga, tak boleh mendengar dan tak boleh bercakap.

“Awalnya memang ‘down’ sebab saya dijangkiti Covid-19 sewaktu bersalin dan selepas kuarantin baru boleh tengok Maryam.

“Lagipun, Maryam dilahirkan pramatang ketika usia kandungan 35 minggu dan ditempatkan 19 hari di unit rawatan rapi neonatal (NICU),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang di Setapak di sini, semalam.

Menurut Nur Atikah, Maryam masih menjalani pemeriksaan mata berkala di Hospital Tunku Azizah (HTA) di sini.

Katanya, Maryam dijangka menjalani pembedahan mata kanan apabila mencapai usia lima atau enam tahun, namun kemungkinan tiada peluang melihat semula walaupun selepas prosedur itu dijalankan.

“Tapi setakat ini, Maryam boleh makan dan sudah sebulan berhenti minum susu kerana dulu (minum) guna tiub Ryles.

“Jika nak apa-apa pula, Maryam akan tunjuk isyarat tangan dan bila menangis baru ada suara, jadi nak dengar dia sebut mama atau babah memang tak dapat.

“Alhamdulillah, abang dengan kakak Maryam boleh terima adik mereka anak istimewa. Jadi selain suami, mereka juga kekuatan saya kerana boleh terima Maryam,” katanya yang mempunyai dua lagi anak berusia sembilan dan 10 tahun.

Sebagai ibu, Nur Atikah tidak dapat membayangkan bagaimana hidupnya tanpa Maryam yang dianggap penyeri dalam keluarga.

“Sebagai ibu, ramai kata anak saya itu tiket syurga, tapi nak menjaganya tak mudah. Bila dia (Maryam) tak ada pun, sunyi rumah jadinya walaupun Maryam tak boleh bercakap.

“Bagi saya, Maryam memang istimewa. Saya pun layan dia macam anak normal dan syukur kerana ramai juga sayangkannya selepas kongsi kisahnya di TikTok,” katanya.

Sementara itu, suaminya Nasrudin Muhamad Yusni, 35, berkata dia menganggap kehadiran Maryam sebagai anugerah terindah dalam hidupnya.

“Mulanya susah (untuk terima) tapi lama-kelamaan dapat terima dan keluarga kami pun murah rezeki mungkin disebabkan adanya Maryam,” katanya yang mencari rezeki sebagai penghantar surat dan penjual burger pada sebelah malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top