'Tiga lapisan kain koyak, hanya tunggu tali dekat leher putus sendiri'

'Tiga lapisan kain koyak, hanya tunggu tali dekat leher putus sendiri'

syazrina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya tak boleh berhenti sebab kiri kanan kereta, cuma boleh perlahankan motosikal dan tunggu tali dekat leher putus sendiri,” kata Muhammad Faris Rosaidee, 27, menceritakan detik cemas terkena tali layang-layang ketika menunggang motosikal berhampiran Taman Tasik Metropolitan Kepong, di sini.

Penjawat awam itu berkata, kejadian berlaku kira-kira 6 petang semalam ketika dia dalam perjalanan dari rumahnya di Batu Caves ke Bandar Sri Damansara untuk bertemu rakan.

Menurutnya, dia menunggang motosikal melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) yang menjadi laluan utama, seperti kebiasaan.

Namun, katanya, sebaik tiba berhampiran kawasan Taman Tasik Metropolitan Kepong, dia perasan sesuatu menyentuh badannya sebelum tali layang-layang tiba-tiba melilit lehernya.

“Saya tak nampak tali itu. Saya rasa, mula-mula ia singgah di badan, kemudian naik ke paras dada hingga leher.

“Ada tiga lapisan kain di badan (pakaian dipakainya ketika itu), jaket, baju selain beg galas. Ketiga-tiganya koyak sehingga terkena kulit bahu sedikit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Faris bersyukur kerana memakai penutup muka khas hingga menutup leher ketika menunggang motosikal, yang sedikit sebanyak mengurangkan kesan kecederaan pada lehernya.

“Doktor kata cuma lapisan pertama kulit yang terjejas, macam melecur… tak berdarah pun dan saya sudah ke klinik berhampiran untuk rawatan,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Gombak.

Katanya, disebabkan lokasi kejadian di Kepong, anggota polis dari Balai Polis Kepong ada menghubunginya untuk semakan dan membantunya untuk tindakan selanjutnya termasuk membuat laporan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Balai Polis Trafik Kuala Lumpur.

“Pagi tadi saya sudah pun ke sana dan seterusnya ke DBKL untuk buat aduan secara rasmi, Alhamdulillah laporan polis semuanya sudah dibuat,” ujarnya.

Muhammad Faris juga menyifatkan kejadian itu bukan terpencil, memandangkan beberapa individu lain sebelum ini turut mendakwa pernah terkena tali layang-layang.

Katanya, ketika berada di lokasi kejadian, dia ada berpatah balik ke arah tali berkenaan untuk menegur dua individu yang berada di tengah lebuh raya.

“Saya tanya mereka layang-layang tu milik siapa, mereka jawab hanya datang untuk tolong… saya tak syak mereka,” katanya.

Susulan kejadian itu, Muhammad Faris turut menyeru pihak berkuasa supaya mengenakan zon khas untuk aktiviti bermain layang-layang di kawasan terbuka, selain menasihati orang ramai yang pernah menjadi mangsa untuk membuat laporan.

“Saya buat video itu untuk kesedaran, yang bertanyakan berkenaan saya, Alhamdulillah kesihatan saya tidak terjejas sangat, cuma saya risau jika berlaku kepada orang lain nanti,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial seorang penunggang motosikal cedera di leher selepas terkena tali layang-layang yang melintas secara tiba-tiba di laluan berhampiran Taman Tasik Metropolitan Kepong.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top