am@hmetro.com.my
Sipitang: “Saya mahu siasatan yang telus, adil dan saksama,” kata ibu pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir yang meninggal dunia, di asrama di sebuah sekolah, di sini, baru-baru ini.
Kejadian membabitkan pelajar berasal dari Sipitang itu didakwa turut dikaitkan dengan insiden buli dalam kalangan pelajar di sekolah berkenaan.
Noraidah Lamat, 45, yang juga seorang guru berkata, kali terakhir dia bertemu anak perempuan tunggalnya ketika menghadiri program gotong-royong di sekolah anaknya pada 12 Julai.
“Sebelum itu dia (Zara) telefon menggunakan telefon awam meminta saya datang, dan keesokan harinya saya ke sekolah anak untuk menyertai aktiviti berkenaan.
“Ketika gotong-royong itu, hanya ada beberapa orang sahaja (yang hadir). Anak sangat gembira waktu itu. Selepas habis gotong-royong, kami terus balik Sipitang.
“Anak juga sempat meluangkan masa bermain bersama kawannya di Taman Awam Esplanade,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kalamauh, di sini, hari ini.
Terdahulu, Noraidah menerima kunjungan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang ini turut jadi menyampaikan sumbangan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) sebanyak RM10,000 dan sumbangan tunai lain.
Turut hadir, Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.
Menurutnya, dia menghantar anaknya pulang ke asrama pada Ahad, namun tidak nampak sebarang perubahan pada Zara.
“Ketika mahu menghantarnya ke asrama, anak cuma minta hantar lewat sedikit tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa.
“Saya menghantarnya kira-kira jam 1 tengah hari. Sebelum balik ke asrama, Zara sempat memasak roti telur untuk kami.
“Itu makanan terakhir yang dibawa, saya juga hairan dia memasak (roti telur) itu untuk kami,” katanya yang berharap siasatan kes kematian Zara dapat dilaksanakan dengan telus dan adil.
© New Straits Times Press (M) Bhd