Memelihara keamanan negara tanggungjawab bersama

Memelihara keamanan negara tanggungjawab bersama

Julai menandakan sambutan Bulan Keselamatan Negara, satu detik penting bagi membangkitkan semula kesedaran umat terhadap nilai keamanan sebagai nikmat yang paling utama selepas iman dan kesihatan.

Dunia pasca-pandemik, dilanda konflik peperangan, krisis makanan dan serangan siber telah menyedarkan manusia bahawa kestabilan negara bukan satu jaminan mutlak, tetapi suatu anugerah yang wajib dipelihara bersama.

Firman Allah SWT: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa, Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Makkah), negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki daripada buah-buahan kepada penduduknya yang beriman antara mereka dengan Allah dan hari kemudian. Allah berfirman, ‘(permohonan mu itu diterima) dan kepada orang kafir pun Aku beri kesenangan sementara (di dunia), kemudian Aku paksa (dengan menyeret) mereka menjalani seksaan neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.'” (Surah al-Baqarah: 126)

Ayat di atas adalah doa yang menegaskan keamanan ialah prasyarat kepada kemakmuran. Tiada rezeki yang boleh dimanfaatkan, tiada ekonomi yang boleh dijana, tiada ilmu yang boleh disebarkan, hatta tiada ibadah yang boleh dilaksanakan tanpa keamanan.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Siapa di antara kalian yang berpagian dalam keadaan aman dalam lingkungan tempat tinggalnya, sihat tubuhnya dan memiliki makanan untuk hari itu, maka seakan-akan dunia telah dikumpulkan untuknya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Nikmat keamanan ialah anugerah yang meletakkan manusia dalam keadaan tenteram, sejahtera dan seimbang secara zahir dan batin. Keamanan bukan sekadar tiadanya peperangan, bahkan merangkumi kebebasan menjalani kehidupan tanpa gangguan, ketakutan atau ancaman, baik secara fizikal mahupun psikologi.

Malaysia terus menikmati nikmat tersebut hasil muafakat rakyat dan dasar strategik kerajaan dalam membentuk struktur keselamatan yang kukuh.

Penubuhan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 7 Julai 1971 adalah refleksi kepada keinsafan pasca rusuhan kaum 13 Mei 1969. Peristiwa tersebut mengajar bahawa keamanan bukan diwarisi, tetapi dibina dengan kebijaksanaan, kawalan emosi dan pengurusan risiko yang menyeluruh.

Tamadun Islam sendiri mencatat sejarah penting bagaimana keamanan negara diasaskan secara strategik oleh Nabi SAW menerusi Piagam Madinah, perlembagaan bertulis pertama yang mengikat semua kaum, kabilah dan agama di bawah satu sistem keadilan dan tanggungjawab bersama.

Piagam ini memuatkan prinsip keadilan sejagat, jaminan kebebasan agama, hak hidup bermasyarakat secara damai serta perlindungan terhadap semua warganya daripada sebarang bentuk ancaman dalaman atau luaran.

Fungsi Nabi SAW sebagai ketua negara dan hakim menjadi lambang pemusatan kuasa untuk mengawal anasir yang boleh mencetuskan kekacauan.

Ketelusan dan keadilan dalam sistem Madinah menjadikan semua pihak sanggup mempertahankan negara, menolak khianat dan menjaga perpaduan.

Keamanan bukan ditentukan oleh kekuatan senjata, tetapi oleh kebersamaan jiwa seluruh rakyat terhadap tanggungjawab kolektif mempertahan negara.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang menjaga batasan-batasan Allah dan orang yang melanggarnya adalah seperti satu kaum yang berada di atas sebuah kapal. Sebahagian mereka berada di bahagian atas dan sebahagian lagi di bahagian bawah. Apabila orang yang berada di bawah ingin mendapatkan air, mereka terpaksa melalui orang-orang yang berada di atas lalu menyusahkan mereka. Lalu mereka berkata: ‘Kalau kita buat satu lubang di bahagian kita (dasar kapal), kita tidak akan menyusahkan orang di atas. Maka jika orang di atas membiarkan mereka melakukan apa yang mereka mahu, maka semua akan binasa. Tetapi jika mereka menahan tangan mereka (menghalang perbuatan itu), maka mereka semua akan selamat.'” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas perumpamaan bagi menggambarkan struktur sosial yang memerlukan kepedulian dan keprihatinan menyeluruh. Ketika dunia moden menyaksikan ledakan teknologi maklumat dan media sosial, tindakan individu dalam menyebarkan maklumat palsu atau ucapan kebencian berpotensi menjadi ‘lubang’ yang menenggelamkan keselamatan negara.

Masyarakat kini berhadapan cabaran keselamatan seperti ekstremisme agama, serangan siber, pemesongan ideologi anak muda, penyalahgunaan dadah dan ketidaktentuan geopolitik dunia. Semua ini menuntut kesedaran kolektif dan penglibatan aktif rakyat sebagai barisan pertahanan pertama. Terdapat beberapa peranan utama masyarakat demi mengekalkan keselamatan negara.

Pertama, menjaga tutur kata dan tidak menyebarkan fitnah. Media sosial ialah medan ujian paling berat bagi umat Islam masa kini. Jari jemari menjadi senjata yang mampu meruntuhkan keharmonian jika tidak dikawal oleh akal dan iman. Penyebaran berita palsu, ucapan kebencian, provokasi perkauman dan hasutan keagamaan umpama ‘bom jangka’ yang menunggu masa untuk meledak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah al-Hujurat: 6)

Ayat ini bukan hanya menjadi panduan akhlak, tetapi dasar komunikasi keselamatan yang wajib diamalkan oleh setiap warga negara.

Kedua, meningkatkan keprihatinan terhadap ancaman keselamatan dalam komuniti. Kejahilan terhadap realiti sekeliling menjadi pintu kepada berleluasanya ancaman keselamatan. Tindakan tidak peduli terhadap kegiatan ekstremisme, ajaran sesat, pergerakan subversif atau kehadiran unsur luar yang mencurigakan, membuktikan lemahnya imuniti sosial.

Firman Allah SWT: “…dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.” (Surah al-Maidah: 2)

Ayat di atas menyeru setiap individu untuk sentiasa menyokong segala bentuk pencegahan yang membawa kepada pemeliharaan keamanan sejagat.

Ketiga, melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa. Kepantasan bertindak ialah langkah pencegahan terbaik dalam sistem keselamatan sesebuah negara. Kegagalan melaporkan sesuatu yang mencurigakan boleh menyebabkan impak besar kepada nyawa, harta dan kestabilan negara.

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mencegah dengan tangan, jika tidak mampu maka dengan lidah, jika tidak mampu maka dengan hati dan itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Tindakan melaporkan ialah sebahagian daripada bentuk nahi mungkar yang disyariatkan.

Demikianlah, keamanan adalah amanah Ilahi, bukan milik eksklusif mana-mana pihak berkuasa. Nikmat ini tidak dapat diganti walaupun dengan kemajuan ekonomi atau kehebatan teknologi.

Pengabaian terhadap peranan masyarakat dalam memelihara keamanan akan mengundang kehancuran yang merugikan semua pihak. Rakyat berperanan sebagai barisan pertahanan moral, sosial dan spiritual kepada negara. Gabungan dasar kerajaan dan akhlak masyarakat menjadi formula kejayaan keamanan berterusan.

Piagam Madinah membuktikan bahawa kekuatan sebenar sesebuah negara bukan pada bilangan tentera, tetapi pada keutuhan masyarakat yang bersatu hati, saling mempercayai dan bekerjasama.

Marilah membina benteng keamanan dengan lidah yang benar, hati yang bersih, akal yang bijak dan iman yang kukuh. Semoga Malaysia terus dilimpahi nikmat aman, makmur dan sejahtera di bawah naungan rahmat Allah SWT.

Penulis Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wakaf dan Zakat, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top