London: Bintang Liverpool, Mohamed Salah mendedahkan siapakah jurulatih terbaik yang pernah membimbingnya sepanjang karier profesionalnya dan mengejutkan ramai, nama itu bukan Jurgen Klopp, individu yang mengemudi kariernya ke kemuncak bersama Liverpool.
Dalam temu bual bersama majalah France Football, Salah turut menjawab beberapa soalan lain termasuk siapakah pertahanan paling sukar dihadapinya serta pemain terbaik Afrika sepanjang zaman.
Sepanjang kariernya, Salah beraksi bersama beberapa kelab bermula dengan Al-Mokawloon, kemudian ke Basel, Chelsea, Fiorentina, AS Roma dan kini Liverpool selain mewakili pasukan kebangsaan Mesir.
Namun dalam kalangan ramai pengendali yang pernah membimbingnya, Salah mengangkat Luciano Spalletti, jurulatih dari Itali, sebagai yang terbaik pernah bekerjasama dengannya.
Kedua-dua mereka pernah bekerja bersama di AS Roma antara tahun 2015 hingga 2016 dan Salah tanpa ragu-ragu memberikan pujian terhadap pengaruh besar Spalletti dalam pembangunan prestasinya.
“Saya banyak meningkat di bawah bimbingannya, dari segi taktikal dan mental.
“Beliau memberi saya peluang untuk meluahkan bakat saya dan berkembang sebagai pemain,” kata Salah.
Selepas meninggalkan Roma, Spalletti kemudiannya mengurus Inter Milan dan mengemudi Napoli menjuarai Serie A pada 2023, kejuaraan liga pertama kelab itu sejak zaman Diego Maradona.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Itali, namun kontraknya ditamatkan pada Jun 2025 selepas kempen yang mengecewakan.
Salah menyertai Liverpool pada 2017 selepas beraksi cemerlang di Itali dan menjadi antara pemain utama di bawah kendalian Klopp, yang mencetus era kegemilangan baharu buat The Reds.
Di bawah bimbingan Klopp, Salah menikmati tempoh paling berjaya dalam kariernya apabila memenangi pelbagai trofi dan anugerah individu.
Antaranya, dia merangkul Kasut Emas Liga Perdana Inggeris bagi musim 2017-18, 2018-19, 2021-22 dan 2024-25, selain muncul sebagai penjaring terbanyak Liverpool dalam sejarah Liga Inggeris.
Salah turut menjulang beberapa trofi utama bersama Klopp termasuk Liga Juara-Juara UEFA 2018-19, Piala Super UEFA 2019, Piala Antara Benua FIFA 2019, Liga Perdana Inggeris 2019-20, Piala FA 2021-22, Piala Liga 2021-22 dan 2023-24 serta Perisai Komuniti 2022.
Namun hubungan antara Salah dan Klopp dilaporkan mulai renggang pada 2024, susulan perselisihan di tepi padang yang menarik perhatian media dan penyokong.
Klopp kemudiannya meninggalkan kelab beberapa bulan selepas insiden itu dan tempatnya diambil alih oleh Arne Slot sebagai pengurus baharu.
Ketika ditanya mengenai pemain pertahanan paling sukar pernah dihadapi, Salah menyebut nama Sergio Ramos, merujuk kepada pertembungan kontroversi pada final Liga Juara-Juara 2018 antara Liverpool dan Real Madrid.
Pada aksi itu, Salah mengalami kecederaan bahu akibat pertembungan dengan Ramos, yang menyebabkan dia terpaksa dikeluarkan awal dan menjejaskan persiapan Mesir ke Piala Dunia 2018.
Dia juga menyenaraikan George Weah, Didier Drogba dan Samuel Eto’o sebagai antara pemain terbaik Afrika sepanjang zaman dan secara sederhana menyatakan dia juga layak berada dalam kalangan yang terbaik dari benua itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




