Penting cukai hasil pendapatan dipulangkan 25 peratus kepada Johor – TMJ

Penting cukai hasil pendapatan dipulangkan 25 peratus kepada Johor – TMJ

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah supaya hasil cukai pendapatan Johor dipulangkan semula sebanyak 25 peratus kepada negeri ini bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat dapat ditangani secara lebih berkesan tanpa terlalu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan.

Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian susulan beberapa kelewatan mutakhir ini termasuk isu pembukaan Hospital Pasir Gudang, gangguan sistem autogate di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), serta kelewatan projek tebatan banjir negeri ini.

“Saya baru dimaklumkan mengenai kelewatan pembukaan Hospital Pasir Gudang yang sepatutnya dibuka secara berfasa bermula Ogos ini dan kecewa kerana ia telah ditangguhkan ke Januari 2026.

“Berikutan kelemahan-kelemahan baru-baru ini yang berlaku seperti isu gangguan sistem autogate di BSI dan KSAB, hospital, projek tebatan banjir dan sebagainya, ingin saya sampaikan kepada rakyat Johor betapa pentingnya cukai hasil pendapatan Johor harus dipulangkan sebanyak 25 peratus kepada negeri ini.

“Menerusi pulangan cukai itu, Johor akan mempunyai keupayaan kewangan sendiri untuk membiayai keperluan penting rakyat tanpa perlu membuat permohonan berulang kali kepada Kerajaan Persekutuan dan menunggu lama untuk kelulusan.

“Apabila hasil cukai pendapatan Johor sebanyak 25 peratus diberikan semula kepada Johor, bermakna negeri ini boleh berdiri dengan kaki sendiri,” titah baginda dalam kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebook, malam ini.

Tahun lalu, Pemangku Sultan Johor pernah membangkitkan isu sama apabila baginda dilaporkan meminta Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk memberi balik 20 hingga 30 peratus hasil cukai yang dikutip dari Johor.

Baginda dilaporkan bertitah, pada masa ini Kerajaan Johor memberikan antara RM48 bilion hingga RM49 bilion setahun cukai negeri kepada Kerajaan Persekutuan tetapi jumlah yang dipulangkan semula kepada negeri ini hanya RM1.4 bilion.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail menzahirkan rasa kecewa dengan kelewatan demi kelewatan projek perkhidmatan awam di negeri ini, yang akhirnya membebankan rakyat dan mengganggu kelangsungan sistem kesihatan serta perkhidmatan penting lain.

Titah baginda, perkara itu dilihat sebagai isyarat jelas kepada Kerajaan Persekutuan untuk meneliti semula agihan hasil negara, khususnya membabitkan Johor antara penyumbang utama kepada pendapatan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top