Lupa bersihkan dakwat pen, bagaimana status solat?

Lupa bersihkan dakwat pen, bagaimana status solat?

MESKIPUN dunia kini menuju era digital sepenuhnya, penggunaan pen masih lagi menjadi keperluan dalam kehidupan seharian kita.

Tidak kiralah sama ada untuk tujuan menulis, menandatangani dokumen, menanda buku mahupun menjawab ujian, pen tetap setia digunakan.

Namun begitu, tanpa sedar kadangkala tangan terconteng dengan dakwat pen. Lebih membimbangkan apabila kesan dakwat tersebut terlupa dibersihkan sebelum mengambil wuduk.

Bayangkan setelah selesai mengerjakan solat, baru sedar ada tompok kesan pen pada tangan atau mungkin kesannya sudah hilang, namun tidak pasti sama ada ia hilang sebelum atau selepas berwuduk.

Situasi itu menimbulkan persoalan adakah sah wuduk dan solat yang telah ditunaikan dalam keadaan tersebut?

Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menjelaskan, wuduk tetap dikira sah dalam situasi itu kerana kesan dakwat yang hanya berupa warna tanpa zat fizikal tidak menghalang air daripada sampai ke kulit.

ā€œDalam keadaan ini, wuduk tetap sah kerana air masih dapat sampai ke anggota wuduk dengan sempurna.

ā€œOleh itu, solat yang dilakukan selepasnya juga sah dan tidak perlu diulang,ā€ kata jabatan mufti itu sebagaimana dipetik menerusi portal soal jawab agama miliknya baru-baru ini.

PARA ulama telah sepakat bahawa sebarang bahan yang membentuk lapisan fizikal pada anggota wuduk dan menghalang air daripada sampai ke kulit, wajib dihilangkan terlebih dahulu sebelum berwuduk. -Foto: CANVA

PARA ulama telah sepakat bahawa sebarang bahan yang membentuk lapisan fizikal pada anggota wuduk dan menghalang air daripada sampai ke kulit, wajib dihilangkan terlebih dahulu sebelum berwuduk. -Foto: CANVA

Mengulas lanjut, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menjelaskan, berwuduk adalah salah satu syarat sah solat yang mesti dipenuhi setiap Muslim.

Ia sebagaimana diperintahkan oleh ALLAH SWT dalam al-Quran: ā€œWahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak menunaikan solat, maka basuhlah muka kamu, kedua-dua tangan hingga ke siku, sapulah kepala kamu dan basuhlah kedua-dua belah kaki hingga ke buku lali.ā€ (Surah al-Maidah: 6)

Dalam sebuah hadis, Jabir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melihat seorang lelaki yang tidak membasuh sebahagian daripada kakinya ketika berwuduk, lalu Baginda menegur: ā€œKembalilah dan sempurnakan wudukmu.ā€

Lelaki itu pun kembali berwuduk dengan sempurna, kemudian menunaikan solat. (Hadis Riwayat Muslim)

ā€œMenurut Imam An-Nawawi, hadis ini menunjukkan bahawa jika ada bahagian anggota wuduk yang tidak terkena air walaupun sedikit, wuduk tersebut tidak sah dan ia merupakan kesepakatan ulama,ā€ katanya.

Jabatan mufti itu menjelaskan, para ulama telah sepakat bahawa sebarang bahan yang membentuk lapisan fizikal pada anggota wuduk dan menghalang air daripada sampai ke kulit, wajib dihilangkan terlebih dahulu sebelum berwuduk.

Bagaimanapun, jelas jabatan mufti itu lagi, perkara tersebut tidak termasuk bahan seperti dakwat pen atau inai yang hanya meninggalkan kesan warna semata-mata tanpa membentuk lapisan fizikal.

WUDUK tetap dikira sah dalam situasi itu kerana kesan dakwat yang hanya berupa warna tanpa zat fizikal tidak menghalang air daripada sampai ke kulit. -Foto: CANVA

WUDUK tetap dikira sah dalam situasi itu kerana kesan dakwat yang hanya berupa warna tanpa zat fizikal tidak menghalang air daripada sampai ke kulit. -Foto: CANVA

ā€œBahan ini tidak membentuk sebarang lapisan pada anggota wuduk dan anggota mandi wajib serta apabila dikikis, tidak akan terhasil ain, bahkan hanya tinggal warnanya sahaja.

ā€œAdapun, wuduk dan mandi wajib dalam keadaan ini dikira sah,ā€ jelasnya.

Menurut Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, perkara itu turut diperincikan dalam kitab Al-Majmu’ yang menyatakan: ā€œJika yang tinggal hanyalah kesan warna ini tanpa zatnya atau kesan minyak cair yang tidak menghalang air daripada menyentuh kulit dan mengalir di atasnya, maka taharahnya tetap sah,ā€ ungkapnya.

Menguatkan lagi hujah itu, jabatan mufti tersebut turut memetik pandangan ulama dalam kitab I’anah At-Talibin yang menghuraikan maksud perkataan ā€˜wa athar hibr wa hinna’’.

Frasa itu merujuk kepada kesan dakwat dan inai yang hanya sekadar warna serta tidak menghalang sahnya wuduk.

ā€œMaksud perkataan ā€˜wa athar hibr wa hinna’’ dalam kitab I’anah at-Talibin adalah ā€˜kesan dakwat dan inai’. Ia tidak menghalang sahnya wuduk kerana memberi kesan warna yang tidak membentuk apa-apa lapisan penghalang.

ā€œYang dimaksudkan dengan ā€˜kesan’ di sini adalah sekadar warna sahaja, tanpa ada zat yang terhasil apabila dikikis,ā€ katanya.

SETIAP Muslim berusaha memastikan kebersihan anggota wuduk daripada bahan yang berpotensi menghalang air sampai ke kulit supaya ibadah wuduk dan solat dapat dilaksanakan dengan sempurna sebagaimana tuntutan syarak. -Foto: CANVA

SETIAP Muslim berusaha memastikan kebersihan anggota wuduk daripada bahan yang berpotensi menghalang air sampai ke kulit supaya ibadah wuduk dan solat dapat dilaksanakan dengan sempurna sebagaimana tuntutan syarak. -Foto: CANVA

Berdasarkan hujah itu, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menegaskan, bagi kes tangan yang terconteng sedikit dengan dakwat pen, pihaknya berpandangan, kesan dakwat itu hanya sekadar warna tanpa zat fizikal yang boleh menghalang air daripada menyentuh kulit.

Namun begitu, jabatan mufti itu turut mengingatkan, jika terdapat sesuatu yang mempunyai zat fizikal seperti lilin, cat atau doh yang membentuk lapisan pada kulit dan menghalang air sampai ke anggota wuduk, maka wuduk tidak sah serta perlu diulang.

Sebagai panduan bersama, jabatan mufti itu menyarankan agar setiap Muslim berusaha memastikan kebersihan anggota wuduk daripada bahan yang berpotensi menghalang air sampai ke kulit.

Ia supaya ibadah wuduk dan solat dapat dilaksanakan dengan sempurna sebagaimana tuntutan syarak.

Scroll to Top