am@hmetro.com.my
Alor Setar: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan belum bersedia menyandang jawatan Naib Presiden PAS, walaupun menerima sokongan terbuka pimpinan tertinggi parti itu.
Menteri Besar Kedah itu berkata, beliau belum membuat keputusan muktamad sama ada mahu menerima atau menolak pencalonan sekiranya namanya dicalonkan dalam pemilihan parti akan datang.
“Saya belum buat keputusan, kalau ada pencalonan, saya akan pertimbangkan tapi dua kali dah saya tarik diri. Saya rasa jawatan dalam parti ini orang akan tentukan, bukan saya.
“Saya tak pernah tawar diri untuk bertanding sampai sekarang ini pun, jadi saya akan pertimbang adakah perlu saya berada di situ. Kalau ada orang lain lebih layak, bagilah dia sebab saya muda lagi, baru 51 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Logo Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA) ke-7 2025 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk kekal sebagai pemimpin barisan kedua sekiranya terdapat calon lain yang lebih sesuai dan berwibawa bagi jawatan berkenaan.
“Saya tak ada masalah jadi orang lebih bawah. Bagi orang yang ada keupayaan, kelayakan, mulut tak capoi (cakap lepas) berada di situ… tapi orang bermulut capoi kena ada juga,” katanya berseloroh.
Baru-baru ini, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin secara terbuka menyatakan sokongan terhadap pencalonan Muhammad Sanusi sebagai Naib Presiden PAS atas faktor rekod cemerlang beliau sebagai Menteri Besar dan pengaruhnya dalam parti.
Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata beliau belum menerima sebarang makluman rasmi berhubung pencalonan dan perkara itu lazimnya hanya diketahui selepas proses pencalonan ditutup.
Mengulas kedudukan tiga penyandang jawatan Naib Presiden PAS ketika ini iaitu Datuk Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, beliau menyifatkan ketiga-tiganya memiliki kekuatan tersendiri yang wajar dipertimbangkan ahli parti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




