khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tidak ada mana-mana daripada 107 cawangan Tabung Haji (TH) di seluruh negara ditutup, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Beliau sebaliknya berkata, mana-mana cawangan yang mempunyai transaksi yang sangat rendah akan digantikan dengan satu inisiatif baharu dipanggil Tabung Haji Gerak.
“Tabung Haji Gerak ini adalah satu kaunter TH yang bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
“Ia (TH) juga akan memaklumkan jadual di media sosial dan laman sesawang untuk memudahkan masyarakat melihat dan datang ke kaunter tersebut,” katanya ketika pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) berkait mengenai ura-ura terdapatnya cawangan TH yang ditutup.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, TH sentiasa mencari jalan bagi menambah baik perkhidmatan kepada pendeposit yang berjumlah 9.68 juta orang setakat ini.
“Pada masa ini, lebih daripada 80 peratus transaksi kewangan di TH adalah melalui platform dalam talian dan elektronik.
“Ini mencerminkan kecenderungan pendeposit TH terhadap perkhidmatan berasaskan digital yang memberi lebih banyak kemudahan dan penjimatan masa kepada pelanggan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penggunaan sistem Saudi Visa Bio bagi permohonan visa haji dan umrah, Zulkifli berkata, TH mengambil maklum terdapatnya sebilangan kecil jemaah haji Malaysia menghadapi kesukaran mendaftar data biometrik menerusi aplikasi itu.
“Isu ini berpunca daripada faktor teknikal seperti ketidakserasian peranti mudah alih, ketidaktepatan pengimbasan wajah atau jari, dan keperluan naik taraf sistem teknikal dari masa ke masa sesuai dengan perkembangan terkini.
“Malaysia merupakan antara lapan negara terawal di dunia selain Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Kuwait, United Kingdom, Tunisia dan Maghribi yang dipilih oleh kerajaan Arab Saudi bagi melaksanakan projek perintis aplikasi Saudi Visa Bio.
“Ini adalah satu penghargaan kepada rakyat Malaysia kerana menjadi perintis kepada inisiatif digital oleh pihak berkuasa Arab Saudi bagi memudahkan urusan pengeluaran visa,” katanya.
Menurutnya, bagi musim haji 1446H/2025M, TH sudah mengambil beberapa langkah proaktif bagi membantu memudahkan jemaah haji Malaysia menggunakan aplikasi itu.
Katanya, TH menyediakan panduan lengkap serta sokongan kepada jemaah melalui portal rasminya bagi memuat turun dan menggunakan aplikasi Saudi Visa Bio.
Beliau berkata, panduan ini merangkumi langkah pendaftaran serta tip bagi memastikan proses berjalan lancar.
Zulkifli berkata, TH juga sudah mengadakan sesi penerangan semasa kursus asas haji di seluruh negara, selain panduan turut diterangkan secara jelas dalam surat tawaran haji yang dikeluarkan kepada setiap jemaah.
“Pusat khidmat pelanggan TH di ibu pejabat dan pejabat cawangan di semua negeri turut disediakan bagi membantu jemaah yang menghadapi masalah teknikal atau memerlukan bantuan tambahan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




