DALAM masyarakat kita, anak luar nikah sering dipandang serong oleh sebilangan orang seolah-olah merekalah yang menanggung dosa perbuatan ibu dan bapa mereka.
Hakikatnya, anak yang lahir di luar pernikahan tidak menanggung sebarang kesalahan. Mereka hadir ke dunia bukan atas kehendak sendiri, sebaliknya menjadi mangsa keadaan akibat kedua-dua orang tuanya.
Maka, tidak adil jika kita sebagai masyarakat meletakkan beban dan menyimpan stigma negatif terhadap mereka.
Apa yang perlu difahami adalah kedudukan anak luar nikah dari sudut hukum syarak. Perkara yang sering menjadi perbincangan adalah perihal nafkah dan hubungannya dengan bapa biologi.
Jarang sekali hal berkaitan dengan hubungan mereka dengan adik-beradik lain disentuh.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, anak luar nikah dan adik-beradik lain yang lahir selepas kedua ibu bapa mereka bernikah hanya dikira sebagai adik-beradik seibu sahaja walaupun mempunyai bapa yang sama dari sudut biologinya.

MENURUT ijmak ulama, nasab anak luar nikah hanya disabitkan kepada ibu kerana proses melahirkan itu sendiri mengesahkan pertalian tersebut. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Ini kerana anak luar nikah dianggap tidak mempunyai bapa dari sudut syarak.
“Hubungan antara anak luar nikah dan adik-beradiknya merupakan mahram muabbad iaitu haram berkahwin antara satu sama lain selama-lamanya.
“Dari sudut pergaulan dan batas aurat, mereka boleh melakukan perkara halal yang dibenarkan sebagaimana hubungan adik-beradik menurut syarak,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #2034: Hubungan antara anak luar nikah dengan adik-beradiknya yang lain yang disiarkan menerusi laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.
Menurut ijmak ulama, pejabat mufti itu menjelaskan, nasab anak luar nikah hanya disabitkan kepada ibu kerana proses melahirkan itu sendiri mengesahkan pertalian tersebut.
“Menerusi kitab Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, ijmak ulama menyatakan bahawa seorang wanita dan semua mahramnya ialah mahram kepada anak yang dilahirkan disebabkan zina kerana anak tersebut adalah sebahagian daripadanya dan telah dilahirkan olehnya,” memetik artikel itu.

HUBUNGAN antara anak luar nikah dan adik-beradiknya merupakan mahram muabbad iaitu haram berkahwin antara satu sama lain selama-lamanya. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Dari sudut penasaban kepada bapa, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, anak luar nikah tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya walaupun berkongsi darah keturunan.
Malah, jika anak itu dilahirkan dalam tempoh kurang enam bulan dari tarikh pernikahan, nasab tidak boleh disabitkan kepada suami ibunya.
Perkara itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali ke-100 yang bersidang pada 13 September 2017.
Mesyuarat itu memutuskan bahawa anak tah sah taraf ialah anak yang dilahirkan hasil:
1. Persetubuhan yang berlaku sebelum akad nikah sama ada akibat zina atau rogol; atau
2. Melalui cara saintifik yang bertentangan dengan hukum syarak dan bukan anak yang dilahirkan hasil daripada persetubuhan syubhah atau bukan anak perhambaan; atau
3. Anak yang dilahirkan dalam tempoh kurang daripada enam bulan mengikut takwim qamariah dari tarikh akad nikah.

DISEBABKAN tiada sabitan nasab kepada bapa, anak luar nikah hanya akan mewarisi harta sebagai saudara seibu iaitu berkongsi bahagian satu pertiga (sekiranya ramai) atau satu perenam (jika seorang). -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Disebabkan tiada sabitan nasab kepada bapa, jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lagi, anak luar nikah tersebut hanya akan mewarisi harta sebagai saudara seibu iaitu berkongsi bahagian satu pertiga (sekiranya ramai) atau satu perenam (jika seorang).