
Insiden pertempuran terbaharu antara tentera Thailand dan Kemboja meletus pada awal Khamis di sepanjang sempadan yang dipertikaikan.
BANGKOK – Ketegangan antara Bangkok dan Phom Penh kembali memuncak selepas tentera Thailand melancarkan serangan udara ke atas sasaran askar Kemboja pada Khamis.
Insiden pertempuran terbaharu itu tercetus selepas Phnom Penh didakwa menembak roket dan artileri hingga meragut nyawa orang awam selain beberapa termasuk kanak-kanak dilaporkan cedera.
Jurucakap timbalan tentera Thailand, Ritcha Suksuwanon berkata, sebanyak enam jet F-16 dikerahkan dari wilayah Ubon Ratchathani.
Serangan balas itu dilancarkan sebagai respons terhadap bedilan artileri dari Kemboja yang mengenai sebuah rumah di sempadan.
Kedua-dua belah pihak saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain memulakan pertempuran tersebut yang berlaku berhampiran dua kuil di sempadan wilayah Surin dan Oddar Meanchey.
“Tentera Thailand melanggar integriti wilayah kami dengan menyerang kedudukan tentera yang ditempatkan untuk mempertahankan Kemboja,” ujar jurucakap Kementerian Pertahanan, Maly Socheata.
Bangkok dalam satu kenyataan menuduh Phnom Penh sengaja menyasarkan orang awam dengan melancarkan roket BM-21 ke atas komuniti di daerah Kap Choeng.
Menurut tentera Thailand, pertempuran itu tercetus pada jam 7.35 pagi (waktu tempatan) selepas unit yang berkawal Kuil Ta Muen terdengar bunyi dron askar musuh berlegar-legar di kawasan tersebut. – AFP