PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius tindakan segelintir penyokong Indonesia yang didakwa mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik ketika perlawanan Kelayakan Piala AFF Bawah 23 Tahun (B-23) antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Isnin lalu.
Presidennya, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menegaskan, FAM tidak akan berdiam diri dan berbincang dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) sebelum sebarang langkah lanjut diambil.
“Ya, kami berhubung dengan AFF dan AFC. Kami tidak mengambil ringan isu ini,” katanya kepada media selepas melancarkan Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 pada Khamis.
Aksi yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan itu dicemari tindakan segelintir penyokong tuan rumah yang mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik dan dipangkah mencetuskan kemarahan penyokong tanah air.
Insiden itu dilihat jelas melanggar Artikel 16(2)(d) Kod Tatatertib FIFA yang menekankan larangan terhadap tindakan provokatif, diskriminasi dan penghinaan terhadap simbol negara.
Dalam pada itu, Joehari turut memaklumkan bahawa FAM sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap individu tertentu di luar negara yang terus membuat tuduhan tidak berasas mengenai status pemain warisan dalam skuad Harimau Malaya.
“Ya, kita akan rujuk kepada peguam FAM untuk melihat kes ini,” katanya.
Baru-baru ini, seorang pengulas sukan dari Indonesia mendakwa FAM mungkin dikenakan tindakan oleh FIFA kerana didakwa menyenaraikan pemain yang tiada kaitan langsung dengan Malaysia dalam pasukan kebangsaan.