Program Harimau Muda dilaksanakan semula jika ada bajet

Program Harimau Muda dilaksanakan semula jika ada bajet

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Program Harimau Muda yang pernah diwujudkan sebelum ini kemungkinan akan dilaksanakan, namun ia bergantung kepada bajet.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, program Harimau Muda bagi membentuk skuad Bawah 23 Tahun (B-23) turut berada dalam perancangan badan induk itu.

“Kami akan perhalusi sebab FAM bukan tengok satu pasukan sahaja, kami tengok semua pasukan, cuma kami akan akan lihat bajet itu adakah ia mengizinkan kami untuk bentuk pasukan (Harimau Muda) itu.

“Kami ada dua, tiga kaedah yang mungkin akan suarakan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan AFL (Liga Bolasepak Amatur) yang akan memberi peluang buat pemain muda beraksi dalam liga.

“Ya (tetapkan kuota pemain muda dalam kelab), itu adalah satu kaedah yang kami akan bincang dengan penganjur liga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) 2025, hari ini.

Terdahulu, prestasi skuad B-23 negara dilihat berada dalam keadaan membimbangkan selepas gagal melepasi peringkat kumpulan saingan Piala AFF B-23 di Indonesia, Isnin lalu.

Skuad bimbangan Nafuzi Zain tewas mengejut 0-2 kepada Filipina sebelum menang 7-1 ke atas Brunei dan seri 0-0 dengan Thailand.

Malah, peluang untuk barisan pemain muda beraksi dalam Liga M semakin mengecil apabila kebanyakan pasukan lebih mengutamakan pemain import dan pemain senior.

Joehari menjelaskan, pihaknya mempunyai beberapa kaedah lain yang akan dipertimbangkan bagi memberi ruang untuk pemain muda turut mendapat minit permainan termasuk dalam Liga Super dan Liga A1 Semi Pro.

Beliau tidak menolak kemungkinan penetapan mewajibkan pasukan dalam Liga Super dan Liga A1 menggunakan pemain muda bagi memastikan mereka turut mendapatkan peluang beraksi dalam perlawanan kompetitif.

Untuk rekod, FAM pernah mewujudkan projek Harimau Muda pada 2007 dan susulan itu beberapa kejayaan diraih termasuk merangkul pingat emas Sukan Sea 2009 dan 2011 serta menjuarai kejohanan Piala AFF 2010.

Namun pada November 2015, FAM mengambil keputusan membubarkan program Harimau Muda bertujuan mengembalikan tanggungjawab membangunkan pemain belia kepada kelab.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top