sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kejohanan Piala Raja Thai 2025 tidak berlangsung seperti pertandingan berprestij, sebaliknya dilihat begitu cacamarba terutama membabitkan jadual pertandingan sehingga ada pasukan terpaksa beraksi sehingga awal pagi tadi.
Tuan rumah, Thailand dilihat tidak cukup profesional dalam soal menyusun jadual serta tempat bertanding kerana ia bukan sahaja membabitkan Malaysia, beberapa negara lain menjadi mangsa seakan-akan pertandingan itu pertama kali diadakan.
Seorang pengulas sukan sepak takraw, Mohsen Amdan berkata, penganjuran Piala Raja Thai pada edisi kali ini sepatutnya menjadi ukuran untuk mereka bertindak sebagai tuan rumah Sukan SEA 2025 pada Disember nanti.
Tetapi, apa yang terjadi semalam, sudah pasti memberi gambaran sangat buruk buat negara terkuat dalam sukan berkenaan.
Bukan itu sahaja, waktu pertandingan membabikan pasukan negara dikatakan begitu hampir sehingga tiada masa untuk pemain berehat apabila perlu beraksi dalam beberapa acara berlainan.
Situasi itu menyebabkan pemain negara, Afifuddin Razak mengalami kecederaan sehingga terpaksa dikeluarkan bagi mengelak terjadi lebih teruk.
“Masalahnya jadual terlalu padat dan acara pula ada banyak serta jumlah hari penganjuran pendek.
“Malangnya, ia mencemar status Kejohanan Dunia yang sudah masuk lebih dari 30 edisinya (30 tahun).
“Reputasi Thailand tercalar teruk. Kalah pula 0-2 kepada Malaysia semalam. Sehingga jam 1 pagi (waktu Malaysia), perlawanan masih bersambung.
“Jika terus ke perlawanan seterusnya, maka perlawanan terheret hampir ke pukul 3 pagi. Noraizat (Nordin) yang baru saja selesai perlawanan campuran kuadran, terpaksa bergegas masuk ke gelanggang sebelah untuk kuadran lelaki.
“Di mata akhir 14-10, pemain Malaysia, Affifudin cedera ketika hendak melakukan pukulan terakhir(libasan). Ini memalukan,” katanya.
Tambahnya, situasi itu menyebabkan wakil setiap pasukan terus mendesak penganjur untuk menunda perlawanan ke hari ini seterusnya kerana ia mampu memberi impak negatif selain akan menyebabkan pemain terlalu letih.
Jika perlawanan terus ditunda, kemungkinan ia tidak dapat dihabiskan mengikut masa ditetapkan dan itu akan memberi kesan kepada negara bertanding untuk pulang.
© New Straits Times Press (M) Bhd