Botol harapan rentasi laut: Inisiatif rakyat Mesir bantu Gaza

Botol harapan rentasi laut: Inisiatif rakyat Mesir bantu Gaza

KAHERAH – Rakyat Mesir melancarkan satu inisiatif simbolik dikenali sebagai ‘From Sea to Sea – A Bottle of Hope for Gaza‘ sebagai usaha terakhir membantu rakyat Palestin yang berdepan kebuluran melampau akibat sekatan Israel.

Melalui inisiatif itu, botol berisi makanan kering seperti beras, gandum, lentil dan kekacang dimasukkan ke dalam Laut Mediterranean dengan harapan bekalan tersebut akan sampai ke pantai Gaza.

Langkah itu diambil sebagai reaksi kepada situasi genting di Gaza, apabila trak bantuan makanan disekat di sempadan, manakala lebih 100 organisasi bantuan memberi amaran berhubung krisis kelaparan besar-besaran yang sedang berlaku.

Peserta inisiatif turut menyeru penduduk di negara-negara lain yang bersempadan dengan Laut Mediterranean termasuk Libya, Tunisia, Algeria dan Maghribi agar turut sama menyertai usaha tersebut.

Menurut laporan media tempatan, idea itu dicetuskan oleh seorang jurutera dan ahli akademik Mesir yang menetap di Jepun.

Beliau mencadangkan penghantaran makanan melalui laut sebagai alternatif paling praktikal dalam menghadapi sekatan yang berterusan.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau menjelaskan bahawa tong plastik 25 liter yang ditutup rapat mampu memuatkan antara enam hingga lapan kilogram makanan kering, dengan kira-kira lapan liter ruang udara untuk memastikan ia terapung.

Beliau turut mengesyorkan agar tong dilepaskan sekurang-kurangnya empat kilometer dari pantai pada sudut 60 darjah ke arah timur laut, bagi mengelak arus laut yang menentang arah.

“Arus permukaan di Laut Mediterranean sebelah timur mengalir dari barat ke timur dengan kelajuan sehingga 0.8 kilometer sejam. Ini bermakna kontena boleh sampai ke pantai Gaza dalam tempoh antara 72 hingga 96 jam, jika dilepaskan dari kawasan seperti Damietta atau timur Port Said,” jelasnya.

Cadangan itu menerima sambutan positif di media sosial, dengan ramai menyifatkannya sebagai satu ‘ungkapan keikhlasan’ tatkala kerajaan-kerajaan dunia dilihat gagal mengambil tindakan bermakna.

Namun begitu, terdapat juga suara yang menyeru agar inisiatif simbolik ini digembleng menjadi tekanan rakyat yang lebih berkesan, termasuk dengan menyokong organisasi bantuan yang diyakini serta mendesak campur tangan antarabangsa untuk menamatkan sekatan dan membuka laluan bantuan ke Gaza.

Kebuluran besar-besaran kini mencengkam Gaza, di mana lebih 950 trak bantuan dilaporkan tersekat di sempadan Mesir–Gaza.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 1,000 penduduk Palestin telah dibunuh oleh tentera Israel ketika cuba mendapatkan makanan sejak operasi bantuan diketuai Yayasan Kemanusiaan Gaza yang disokong Amerika Syarikat dan Israel dilancarkan pada Mei lalu.

Beberapa pertubuhan antarabangsa termasuk Save the Children, Oxfam dan Doctors Without Borders menyatakan bahawa rakan-rakan mereka di Gaza juga sedang mengalami kelaparan yang kritikal.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus turut menyifatkan bencana ini sebagai malapetaka buatan manusia, apabila Israel terus melancarkan serangan tanpa henti ke atas wilayah berkenaan.

Sejak Oktober 2023, sekurang-kurangnya 59,219 rakyat Palestin telah terkorban akibat perang yang digelar sebagai pembunuhan beramai-ramai oleh Israel, menurut angka rasmi Kementerian Kesihatan Gaza.

Namun, jumlah sebenar dipercayai jauh lebih tinggi memandangkan ramai mangsa masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan. – The New Arab

 

 

Scroll to Top