Betulkan haluan hidup, elak tersesat cari jalan kembali

Betulkan haluan hidup, elak tersesat cari jalan kembali

MEMPERBETULKAN haluan hidup bukanlah satu proses mudah dan segera kerana memerlukan kesungguhan, bimbingan yang sahih dan disiplin berterusan.

Program sehari dua atau sesi motivasi semata-mata tidak cukup untuk membentuk perubahan sebenar dalam diri seseorang.

Malangnya, ramai yang tersilap memilih jalan dalam usaha mencari ketenangan atau menukar haluan hidup hingga terjerumus dalam program motivasi bertopengkan agama atau ajaran songsang tanpa disedari.

Pensyarah Kanan Psikologi dan Kaunseling Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohd Nasir Masroom menjelaskan, konsep sebenar membetulkan haluan hidup dalam Islam adalah berpaksikan kepada prinsip hijrah iaitu perubahan diri ke arah lebih baik dan tazkiyah an-nafs (penyucian jiwa) yang dilakukan melalui ibadah serta zikir.

DR MOHD NASIR

DR MOHD NASIR

Tegas beliau, perubahan sebenar tidak berlaku secara drastik.

“Program sehari dua itu adalah sebagai pemangkin kepada perubahan, sama sepertimana ketika kita di sekolah dulu. Hadir program dua atau tiga hari untuk menaikkan semangat dan motivasi pelajar.

“Dalam psikologi Islam, apabila bercakap mengenai perubahan, kita akan jumpa istilah tazkiyah an-nafs. Menurut Imam Al-Ghazali, prosesnya tidaklah mudah, tetapi bukanlah susah.

“Apa yang perlu dilakukan setiap hari adalah mendirikan solat dan berzikir secara berterusan. Bukan hanya sehari, seminggu atau sebulan. Proses ini dinamakan mujahadah iaitu bersungguh-sungguh, konsisten dan ikhlas dalam melakukan ibadah,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Di samping itu, ahli akademik tersebut menjelaskan, bertaubat juga merupakan mekanisme terbaik yang diajarkan dalam Islam untuk memperbaharui perjalanan kehidupan seseorang.

BERTAUBAT juga merupakan mekanisme terbaik yang diajarkan dalam Islam untuk memperbaharui perjalanan kehidupan seseorang. -Foto: CANVA

BERTAUBAT juga merupakan mekanisme terbaik yang diajarkan dalam Islam untuk memperbaharui perjalanan kehidupan seseorang. -Foto: CANVA

“Sebagai manusia, kita tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan, mahupun terkhilaf atau tersilap dalam membuat keputusan serta memilih jalan kehidupan.

“Maka, taubat adalah jalan penyelesaiannya,” ungkapnya.

Siasat latar belakang guru

Mengulas fenomena ramai individu mudah terjebak dalam program motivasi segera, Dr Mohd Nasir menjelaskan, mereka yang hilang arah dan memerlukan bimbingan sering kali tertarik kepada program ‘reset’ (pemulihan) kehidupan yang kelihatan gah di media sosial.

“Di sisi lain pula, program kerohanian yang ditawarkan oleh individu atau organisasi berasaskan agama kelihatan biasa sahaja, tidak menarik dan dibuat di masjid atau surau.

“Ini ditambah lagi dengan kes-kes penyelewengan individu atau organisasi yang bertopengkan atau menunggang agama, menjadikan program ‘hijrah kehidupan’ kurang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat,” katanya.

BERTAUBAT juga merupakan mekanisme terbaik yang diajarkan dalam Islam untuk memperbaharui perjalanan kehidupan seseorang. -Foto: CANVA

BERTAUBAT juga merupakan mekanisme terbaik yang diajarkan dalam Islam untuk memperbaharui perjalanan kehidupan seseorang. -Foto: CANVA

Disebabkan itu, tidak hairanlah apabila ada individu tersilap langkah dalam memilih ‘jalan kembali’ yang salah.

Mengulas lanjut, ujar Dr Mohd Nasir, antara kesilapan terbesar yang dilakukan oleh mereka yang ingin berubah adalah mencari pembimbing tanpa panduan jelas.

“Mereka mencari seorang jurulatih, sifu, guru atau pembimbing motivasi untuk membimbing diri melakukan perubahan.

“Malangnya, mereka tersilap pilih pembimbing yang menyebabkan mereka terjebak dengan program ‘luar biasa’ (yang salah),” katanya.

Justeru, ahli akademik itu menyeru orang ramai supaya sentiasa memeriksa latar belakang tenaga pengajar yang menawarkan bimbingan hidup, selain memperkukuhkan ilmu asas agama sebagai benteng daripada tertipu.

“Pastikan kelayakan, pengalaman dan akhlak mereka selari dengan apa yang mereka katakan.

“Kita semua pernah atau sedang terhimpit dengan kepayahan dan ujian hidup. Jadi, kita perlukan semangat dan motivasi untuk mengharunginya, cuma sebahagian daripada kita tersalah pilih pembimbing atau guru, tersilap pilih jalan,” titipnya.

BANYAKKAN berdoa agar terhindar daripada terjebak dengan perkara-perkara buruk, di samping melazimkan diri membaca surah al-Kahf agar dilindungi ALLAH SWT daripada fitnah akhir zaman. -Foto: CANVA

BANYAKKAN berdoa agar terhindar daripada terjebak dengan perkara-perkara buruk, di samping melazimkan diri membaca surah al-Kahf agar dilindungi ALLAH SWT daripada fitnah akhir zaman. -Foto: CANVA

Beliau turut menyarankan agar umat Islam banyakkan berdoa agar terhindar daripada terjebak dengan perkara-perkara buruk, di samping melazimkan diri membaca surah al-Kahf agar dilindungi ALLAH SWT daripada fitnah akhir zaman.

“Kukuhkan ilmu mengenai agama, belajar cara ibadah yang betul dan sentiasa cakna dengan teknik penipuan untuk mengambil wang milik kita,” titipnya sambil mengingatkan agar umat Islam terus mencari ilmu di masjid dan surau yang dianjurkan oleh pihak berautoriti.

ANEKDOT

Petanda ikut guru, program yang salah

– Salah satu tanda paling ketara seseorang mencari bimbingan, tetapi berada di jalan yang salah adalah apabila peserta suka mengasingkan diri daripada masyarakat atau keluarga.

– Tidak memilih masjid, surau atau institusi agama kerana bimbang ajaran mereka diketahui oleh orang ramai.


BERHATI-HATILAH ketika mencari jalan pulang kepada ALLAH agar tidak terjerumus ke dalam program motivasi bertopengkan agama atau ajaran songsang tanpa disedari. -Foto: CANVA

BERHATI-HATILAH ketika mencari jalan pulang kepada ALLAH agar tidak terjerumus ke dalam program motivasi bertopengkan agama atau ajaran songsang tanpa disedari. -Foto: CANVA

– Taasub kepada jurulatih, mentor atau guru tanpa menyemak kelayakan mereka juga salah satu tanda-tanda seseorang sedang melalui jalan yang salah.

– Ini kerana sifat taasub akan menutup kewarasan akal fikiran hingga sanggup menyerahkan harta benda, maruah dan berkorban demi guru serta mengabaikan kepentingan diri dan keluarga.

– Menganggap amalan pelik sebagai proses penyucian jiwa.

– Menolak pandangan dan teguran ahli agama.

Scroll to Top