Duda tidak mengaku cabul, tunjuk kemaluan terhadap 2 anak tiri

Duda tidak mengaku cabul, tunjuk kemaluan terhadap 2 anak tiri

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Pembantu pemasaran produk kosmetik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap dua anak perempuan tirinya berusia lima dan enam tahun sejak Mei lalu.

Tertuduh yang juga duda berusia 27 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan dalam prosiding di hadapan Hakim Aiza Khairuddin.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan di sebuah bilik dan bilik air di sebuah rumah dekat sini, pada waktu malam antara 11 Mei dan 5 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 yang boleh dihukum mengikut akta sama, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Tertuduh juga dituduh mengikut Seksyen 15(a)(i) AKSTK 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal bukan fizikal dengan cara menunjukkan kemaluannya kepada kedua mangsa sama di dapur rumah pada tarikh yang sama.

Jika disabitkan kesalahan seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain, manakala tertuduh diwakili Mohd Anif Rafih.

Pihak pendakwa mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan setiap minggu pertama dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan termasuk mangsa.

Bagaimanapun, Mohd Anif merayu jaminan ditetapkan RM12,000 atas alasan tertuduh hanya bekerja sebagai pembantu pemasaran dalam talian bagi produk kosmetik dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

“Tertuduh juga menanggung kedua mangsa dan seorang anak kandungnya berusia dua tahun yang kini dijaganya ibunya di Pendang, Kedah.

“Anak guam saya juga tiada masalah dengan syarat tambahan ditetapkan dan berjanji tidak mengganggu mangsa,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 25 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top