Paris, 25 Julai (AFP) – Presiden Perancis Emmanuel Macron mengumumkan melalui media sosial rasminya bahawa negara itu akan mengiktiraf Negara Palestin secara rasmi pada Sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan September ini.
Langkah ini menjadikan Perancis sebagai kuasa besar Eropah pertama yang mengambil keputusan sedemikian. Menurut AFP, sekurang-kurangnya 142 negara telah atau sedang merancang untuk mengiktiraf Palestin, walaupun mendapat tentangan sengit daripada Amerika Syarikat dan Israel.
Keputusan Perancis itu disambut baik oleh Pihak Berkuasa Palestin. Hussein al-Sheikh, seorang jurucakap kanan, memuji langkah tersebut sebagai sokongan terhadap hak rakyat Palestin untuk berdaulat.
Namun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu membidas keras pengumuman Macron, menganggapnya sebagai satu ancaman kepada keselamatan Israel.
Langkah mengiktiraf Palestin oleh beberapa negara semakin meningkat sejak Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza pada tahun 2023. Keputusan Perancis ini dijangka menambah tekanan antarabangsa terhadap Israel dalam konflik yang berlarutan itu.