am@hmetro.com.my
Nilai: Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyerbu sebuah ladang sayur di Mantin di sini, malam kelmarin, selepas disyaki mencuri air.
SPAN dalam satu kenyataan hari ini berkata, ladang berkenaan didapati membuat sambungan paip secara haram dan air untuk kegunaan ladang serta pekerja.
“SPAN melaksanakan serbuan Ops Curi Air bersama Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) di sebuah premis ladang tanaman yang disyaki melakukan kesalahan sambungan bekalan air secara haram.
“Hasil pemeriksaan terhadap premis disyaki terdapat sambungan bekalan air yang dibuat secara menyalahi undang-undang dan tanpa kebenaran operator bekalan air.
“Sambungan tidak sah itu dilakukan secara terus pada tetiang meter milik SAINS,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, hasil daripada ujian klorin yang dijalankan mengesahkan air berkenaan adalah air terawat yang dibekalkan operator bekalan untuk kegunaan aktiviti ladang dan rumah kongsi pekerja.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 89 (9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang mana jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.
SPAN turut menegaskan sebarang pengambilan bekalan air daripada sistem bekalan air tanpa kebenaran adalah satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Tindakan lanjut termasuk pemotongan sambungan dan siasatan menyeluruh akan dijalankan.
“Orang ramai dipohon untuk memaklumkan kepada operator air di tempat masing-masing sekiranya terdapat sebarang kegiatan mencurigakan yang disyaki berkaitan aktiviti mencuri bekalan air terawat termasuk membuat penyambungan bekalan air secara tidak sah.
“Sebarang aduan atau maklumat berkenaan pencemaran para pengguna boleh menyalurkannya melalui https://sismas.span.gov.my (Sistem sisMAS SPAN),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




