hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Kedah merampas 200 kilogram (kg) lengkuas yang dibawa masuk ke negara ini tanpa permit sah, semalam.
AKPS dalam kenyataan berkata, rampasan bernilai RM3,200 itu dilakukan hasil pemeriksaan ke atas kontena pada 9.40 malam.
Katanya, pemeriksaan mendapati 200 kg lengkuas daripada berat muatan keseluruhan hasil pertanian berjumlah lebih 44,000 kg tidak mempunyai Perakuan Pemasaran 3P daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Perbuatan mengimport apa-apa keluaran pertanian tanpa perakuan atau permit yang sah adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
“Susulan itu, lengkuas itu disita untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
AKPS memaklumkan pihaknya juga sentiasa komited dalam memperketatkan kawalan di semua pintu masuk sempadan negara.
Katanya, ia bagi memastikan kawalan biosekuriti terjamin dan membanteras sebarang aktiviti penyeludupan yang boleh mengancam industri pertanian serta keselamatan makanan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




