Malaysia waspada ancaman geopolitik ASEAN

Malaysia waspada ancaman geopolitik ASEAN

ALOR SETAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa konflik di rantau ini tidak boleh dipandang ringan kerana Asia Tenggara merupakan kawasan yang strategik dari sudut geopolitik, sekali gus terdedah kepada campur tangan pihak luar.

Beliau berkata, walaupun stabil, Malaysia tidak boleh memandang ringan kerana perlu belajar daripada pengalaman negara jiran.

“Saya percaya setakat ini pimpinan kedua-dua negara itu (Thailand-Kemboja) nampak bersedia (hentikan serangan) tetapi kita kena waspada sebab kawasan ASEAN ini terlalu strategik dari segi geopolitik.

“Jadi tentu (ada) usaha-usaha untuk menimbulkan persengketaan. Jadi semua negara kita waspada. Saya di Malaysia tidak pandang ringan walaupun kita stabil, baik, kita belajar dari pengalaman negara jiran. Ada usaha untuk sengaja menimbulkan masalah dalaman negara,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri yang juga Presiden PKR mengadakan pertemuan tertutup dengan pimpinan PKR Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di sebuah hotel, di sini hari ini.

Sementara itu, Anwar menyatakan keyakinan bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju secara prinsip untuk menghentikan serangan di sempadan kedua-dua negara itu, meskipun masih terdapat beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan.

Menurut beliau, perbincangan bersama kedua-dua pemimpin negara terbabit berlangsung dengan baik dan mereka bersedia memberi ruang kepada Malaysia memainkan peranan sebagai pengantara dalam usaha mendamaikan ketegangan yang berlaku.

“Thailand dan Kemboja secara prinsip setuju untuk hentikan peperangan, tetapi nampaknya ada beberapa isu di sempadan yang menyebabkan perlanggaran berlaku.

“Saya sudah hubungi mereka, dan saya minta Menteri Luar terus berhubung. Saya masih optimis bahawa kedua-dua kerajaan akan menghentikan serangan supaya proses damai dapat diteruskan,” katanya.

Krisis sempadan antara Thailand dan Kemboja kembali memuncak selepas insiden tembak-menembak tercetus berhampiran dua kuil purba di wilayah Surin, Thailand dan Oddar Meanchey, Kemboja sejak pagi kelmarin.

Pertikaian berpanjangan itu berpunca daripada tuntutan bertindih ke atas kawasan strategik dikenali sebagai Segi Tiga Zamrud yang terletak di sempadan tiga negara iaitu Thailand, Kemboja dan Laos yang menempatkan beberapa tapak warisan purba termasuk Kuil Ta Muen dan Preah Vihear. – UTUSAN

Scroll to Top