Di Villa senyum kambing, di Barca senyum sampai telinga

Di Villa senyum kambing, di Barca senyum sampai telinga

KETIKA Marcus Rashford diumumkan secara rasmi sebagai pemain baharu Barcelona, bukan sekadar nama atau jersi yang menjadi tumpuan tetapi senyumannya.

Penyerang England itu tampil dengan wajah ceria dan senyuman lebar ‘sampai ke telinga’, berbeza sepenuhnya dengan ekspresi suram ketika diperkenalkan di Aston Villa pada musim lalu.

Di media sosial, ramai peminat pantas membandingkan dua momen tersebut, menyifatkan senyuman Rashford di Villa sebagai ‘senyum kambing’ dan ‘terpaksa’, manakala senyumannya di Barcelona kelihatan tulen dan penuh makna.

Perubahan ekspresi itu jelas menggambarkan transformasi bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga emosi dan mentaliti seorang pemain yang melalui fasa sukar dalam kariernya.

“Barcelona ialah kelab yang saya kenali sejak kecil. Keputusan datang ke sini sangat mudah. Ia terasa seperti pulang ke rumah,” ujar Rashford dalam sidang medianya di Catalunya.

Rashford, 27, menyertai Barca secara pinjaman selama semusim daripada Manchester United, dengan opsyen pembelian tetap pada akhir musim. Kelab Catalan itu juga bersetuju menanggung sepenuhnya gajinya yang mencecah £325,000 (kira-kira RM2 juta) seminggu—menjadikan nilai keseluruhan pinjaman ini dianggarkan sekitar RM95 juta.

Langkah ini dianggap sebagai solusi strategik buat Barcelona yang sedang beroperasi dalam kekangan bajet ketat.

Pengendali Barca, Hansi Flick, dilaporkan memainkan peranan penting dalam membawa masuk Rashford selepas kegagalan mendapatkan Nico Williams dan Luis Diaz.

Selain fleksibiliti taktikal—boleh bermain di sayap kiri, penyerang tengah atau penyerang sokongan—kehadiran Rashford juga dilihat mampu membawa semangat baharu dalam bilik persalinan.

Kali terakhir Rashford beraksi adalah pada Disember tahun lalu sebelum mengalami kecederaan hamstring ketika bersama Villa.

Sejak itu, beliau diketepikan daripada skuad utama Manchester United dan hanya menjalani latihan individu sebaik kembali ke Carrington.

Walaupun perpindahan ke Barcelona menjadi realiti, Rashford menegaskan tidak berlaku sebarang konflik dengan kelab lamanya.

“Manchester United tetap memainkan peranan besar dalam hidup dan karier saya. Saya bersyukur atas semua peluang yang diberi.

“Tapi dalam bola sepak, seperti hidup, tidak semuanya berlaku seperti yang kita rancang,” ujarnya.

Rashford bakal menyarung jersi nombor 14 di Barcelona iaitu nombor yang pernah dipakai legenda seperti Johan Cruyff dan Thierry Henry.

Scroll to Top