Eco-Cruise Chin Chin tarikan pelancongan mesra alam

Eco-Cruise Chin Chin tarikan pelancongan mesra alam

Melaka terus mengorak langkah memperkasa pelancongan luar bandar dengan pelancaran Eco-Cruise Tasik Chin Chin, Jasin yang bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

Produk yang menyuntik nafas baharu dalam landskap pelancongan negeri itu dibangunkan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) bersama pihak swasta bagi merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka (TMM) serta memeriahkan Sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang berlangsung September depan.

Pelancaran disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Tasik Chin Chin yang turut dihadiri EXCO Kanan Negeri, Datuk Rais Yasin; EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman serta Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris.

Ab Rauf berkata, pelaburan menerusi Eco-Cruise Chin Chin itu memberi impak besar dengan menjana peluang pekerjaan, merancakkan perusahaan mikro, inap desa, produk tempatan serta perkhidmatan yang berkaitan.

Justeru, beliau mahu PPSPM terus memperkukuh kerjasama dengan komuniti setempat supaya limpahan manfaat pelancongan ini benar-benar dapat dirasai rakyat Melaka secara menyeluruh.

“Sempena pelancaran produk ini, PPSPM menyediakan sebuah bot Eco-Cruise berkapasiti 30 penumpang bagi setiap sesi pelayaran selama 30 minit yang membawa pengunjung menyusuri tasik sambil mengenali asal usul Kampung Chin Chin.

“Alhamdulillah, sejak diperkenalkan pada 11 Julai lalu, sambutan yang diterima sangat luar biasa apabila PPSPM berjaya merekodkan lebih 70 trip pelayaran dengan lebih 1,500 pengunjung dalam tempoh hanya 11 hari,” katanya.

Serentak dengan pelancaran itu, Ab Rauf turut mengumumkan tiga pakej promosi khas untuk menarik lebih ramai pengunjung iaitu tawaran tiket Eco-Cruise serendah RM5 kepada semua pengunjung sehingga 31 Julai ini manakala promosi tiket khas sempena WTD 2025 pula diadakan bermula 1 Ogos ini hingga 31 Disember depan yang menetapkan bayaran RM5 untuk kanak-kanak dan RM10 untuk dewasa warganegara.

Selain itu, RM25 untuk pelancong kanak-kanak dan RM30 bagi dewasa bukan warganegara.

Sementara itu, Ab Rauf berkata, inisiatif Cruise MADANI yang diperkenalkan sempena ulang tahun ke-20 PPSPM pula menawarkan peluang orang ramai menyertai cabutan bertuah menerusi pembelian tiket bernilai RM50 dan ke atas.

Katanya, tawaran itu akan berlangsung bermula 5 Julai lalu hingga 31 Disember depan dengan menawarkan hadiah utama berupa sebuah kereta.

“Justeru, saya mengalu-alukan kunjungan pelancong dari dalam dan luar Melaka untuk sama-sama menjadikan Chin Chin sebagai destinasi wajib singgah dalam percutian mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top