Arsenal sanggup labur RM340.5 juta dapatkan Eze

Arsenal sanggup labur RM340.5 juta dapatkan Eze

London: Arsenal bersedia untuk melancarkan satu lagi usaha untuk mendapatkan Eberechi Eze selepas hampir memuktamadkan perpindahan penyerang Sporting CP, Viktor Gyokeres.

The Gunners sudah mencapai persetujuan untuk menandatangani pemain antarabangsa Sweden itu dan dijangka akan mengesahkan perpindahan bernilai £63.5 juta (RM360.3 juta) dalam masa terdekat, sekali gus membuka ruang untuk mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemain tengah Crystal Palace, Eze.

Eze, 27, dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Selhurst Park musim panas ini selepas membantu The Eagles memenangi trofi utama pertama mereka musim lalu, apabila dia menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan akhir Piala FA menentang Manchester City.

Arsenal dilihat sebagai pasukan yang paling berminat untuk mendapatkan khidmatnya, namun masih belum mengemukakan tawaran rasmi kerana sebelum ini lebih tertumpu kepada urusan mendapatkan Gyokeres.

Namun kini, pasukan dari utara London itu sedang merancang untuk membuat tawaran bernilai £60 juta (RM340.5 juta) bagi mendapatkan Eze – kemungkinan dibayar dalam tiga ansuran – menurut laporan The Independent.

Jumlah ini adalah kurang daripada klausa pelepasan pemain tengah itu yang bernilai £67 juta (RM380.2 juta), tetapi difahamkan bahawa pihak pengurusan kedua-dua kelab mempunyai hubungan baik dan akan berunding, sesuatu yang melegakan Arsenal, yang baru sahaja menamatkan usaha dua bulan mereka dalam mendapatkan Gyokeres.

Difahamkan Eze lebih cenderung untuk berhijrah ke Emirates, dan ramai pihak yang dekat dengan situasi ini yakin bahawa perpindahan itu akan berlaku dalam beberapa minggu akan datang.

Jika Arsenal enggan membelanjakan wang tunai dalam jumlah besar, ada kemungkinan Reiss Nelson akan dimasukkan dalam urus niaga sebagai sebahagian daripada pertukaran pemain.

Musim lalu, Eze menjaringkan lapan gol dan mencatat lapan bantuan jaringan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika pasukan kendalian Oliver Glasner itu menamatkan saingan liga di tangga ke-12.

Kehilangan Eze bakal menjadi tamparan hebat buat Palace, yang turut berdepan risiko kehilangan Marc Guehi, apabila pertahanan tengah itu dikaitkan dengan Liverpool, manakala Jean-Phillipe Mateta juga sedang dipantau oleh beberapa kelab lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top