London: Tyson Fury mendedahkan dua nama dalam dunia tinju heavyweight yang enggan ditemuinya walaupun ditawarkan sejumlah wang yang besar.
‘Gypsy King’ yang dijangka akan membuat kemunculan semula pada tahun depan selepas bersara sejak Januari lalu, menegaskan bahawa dia tidak akan sesekali menentang bekas rakan sepelatih, Agit Kabayel atau sahabat baiknya, Joseph Parker.
Bercakap dalam satu acara anjuran Goldstar Promotions di BoxPark, Fury berkata: “Mereka berdua adalah saudara saya. Mereka adalah kawan yang baik dan bakal menjadi juara heavyweight dunia pada masa akan datang.
“Agit Kabayel dan Joseph Parker… Parker pernah menjadi juara dunia, jadi dia tahu bagaimana rasanya.
“Saya doakan yang terbaik untuk mereka berdua dan saya tidak akan berlawan dengan mereka, walau berapa pun jumlah wangnya.”
Kabayel sebelum ini hampir bertarung dengan Fury pada tahun 2020 namun pertarungan itu tidak menjadi kenyataan. Mereka pernah berkongsi gelanggang semasa sesi latihan dan rapat sejak itu.
Petinju Jerman berusia 32 tahun itu mengakui berdepan kesukaran mendapatkan pertarungan besar sehinggalah Fury mula menyuarakan sokongan terhadapnya secara terbuka.
Sejak itu, Kabayel berjaya meningkatkan rekodnya kepada 26-0 termasuk kemenangan ke atas Frank Sánchez dan Zhilei Zhang, sekali gus merangkul gelaran juara interim WBC.
Joseph Parker, 33, pula pernah menewaskan sepupu Fury, Hughie Fury pada 2017 untuk merangkul tali pinggang WBO dan sejak itu hubungan antara Parker dan Fury menjadi amat rapat.
© New Straits Times Press (M) Bhd