PETALING JAYA: Setiap sekian lama tidak bergerak aktif dalam industri seni, penampilan terkini penyanyi, Andi Bernadee yang dilihat semakin kurus menuai perhatian warganet.
Menurut Andi, perubahan bentuk badannya yang drastik itu terjadi kerana disiplinnya menjaga rutin pemakanan selepas menyedari fizikalnya naik mendadak.
“Sudah boleh berhenti kot tanya saya kenapa makin kurus. Saya kurus untuk saya, bukan untuk sesiapa dan bukan untuk engkau. Cerita dia tahun lepas saya gemuk.
“Sewaktu menjalani penggambaran, muka aku nampak kembang dan ada ‘double chin. Jadi saya ada rutin pemakanan saya sendiri,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram Story.
Penyanyi lagu Satu Peluang itu turut menegaskan dirinya tidak mengambil sebarang bahan terlarang atau makanan tambahan supaya berat badannya turun mendadak.
Kata Andi, dirinya kini hanya mengamalkan rutin pengambilan makanan dalam porsi kecil selain banyak makan buah.
“Saya tidak ada ambil ozempic atau main dadah. Alhamdulillah, saya jauh daripada benda-benda itu. Saya makan dua kali sehari. Kalau dekat rumah, saya punya porsi itu kecil kerana makan menggunakan pinggan kecil di rumah.
“Dan malam, kadang-kadang saya tidak makan malam. Saya akan makan buah jambu merah, jambu batu, nenas, apel hijau, anggur yang dicicah dengan kicap, cili, kadang-kadang sebuah asam tu,” kongsinya.
Dalam masa sama, Andi memaklumkan tahap kesihatannya juga dalam keadaan baik cuma dirinya terinspirasi untuk kurus kerana melihat penampilannya pada awal kemunculan sebagai anak seni.
“Saya okay saya. Saya sihat, Alhamdulillah. Apa yang membuatkan saya nekad untuk turunkan berat badan kerana terlihat video muzik lagu saya yang berjudul Satu Peluang.
“Ketika itu muka saya tiada ‘double chin’ dan runcing. Disebabkan itulah saya tiada lagi lemak pada bahagian dagu dan perut sekarang,” ujarnya.