Washington: Pilihan utama kejohanan, Taylor Fritz, terpaksa akur dengan kekalahan dramatik kepada pemain Sepanyol, Alejandro Davidovich-Fokina Terbuka DC O yang berakhir hampir jam 2 pagi.
Fritz, pemain nombor empat dunia, tumpas 7-6 (7/3), 3-6, 7-5 selepas pertarungan selama tiga jam lima minit, sekali gus menyaksikan Davidovich-Fokina mara ke separuh akhir menentang pemain tuan rumah, Ben Shelton.
Fritz, yang melakukan 20 ace dan enam double fault, berpeluang menamatkan perlawanan ketika mendahului 30-0 pada permainan kesembilan set penentuan namun gagal menggunakan peluang itu, malah tewas lima permainan terakhir berturut-turut.
Shelton, pilihan keempat kejohanan, terdahulu menyingkirkan pemain pilihan keenam yang juga harapan tuan rumah, Frances Tiafoe, 7-6 (7/2), 6-4.
Separuh akhir satu lagi menyaksikan pemain lucky loser dari Perancis, Corentin Moutet menentang wakil Australia, Alex De Minaur, yang mengetepikan Brandon Nakashima 6-4, 6-4.
Moutet mencipta kejutan apabila bangkit mengatasi pilihan kelapan, Daniil Medvedev 1-6, 6-4, 6-4 walaupun berdepan kekejangan kaki sepanjang aksi.
“Saya hanya cuba bertahan setiap mata sebab fizikal sangat teruji. Saya bangga dengan diri saya sendiri,” kata Moutet.
Emma Raducanu hanya selangkah lagi untuk melangkah ke final WTA pertama sejak menjuarai Terbuka Amerika Syarikat 2021 selepas menewaskan Maria Sakkari dari Greece 6-4, 7-5 dalam cuaca panas terik mencecah 35 darjah Celsius.
Emma, 21, turut menewaskan Naomi Osaka dalam pusingan kedua dan mara ke separuh akhir WTA pertamanya sejak kejohanan di Nottingham tahun lalu selepas pulih daripada kecederaan tangan dan buku lali yang memaksanya berehat hampir sepanjang 2023.
“Ia antara perlawanan paling sukar pernah saya hadapi dari segi cuaca,” katanya.
“Saya rasa seperti kepala berada dalam ketuhar yang terbuka dan panasnya tidak surut langsung. Mujur saya dapat habiskan dalam dua set walaupun mula rasa pening pada set kedua.”
Emma akan berdepan Anna Kalinskaya dari Rusia yang mengetepikan Clara Tauson dari Denmark 6-3, 7-5.
© New Straits Times Press (M) Bhd