Kuantan: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menegaskan gelaran dan darjah kebesaran bukan perisai untuk bermaharajalela bahkan bukan juga perhiasan di dada atau kebanggaan di majlis keramaian.
Baginda bertitah kurniaan itu ialah lambang kemulian, amanah yang bersulam maruah dan penghormatan yang hanya layak kepada mereka yang memelihara integriti serta menjunjung tinggi undang-undang negeri.
Darjah kebesaran itu juga tidak boleh dan tidak akan menjadi pelindung kepada sesiapa yang melanggar hukum, mengkhianati tanah negeri atau menodai keadilan.
“Beta tidak akan berdiam diri apabila kehormatan yang diberi digunakan untuk menindas, mencuri hasil negeri atau mencemarkan nama baik institusi diraja.
“Beta ingin menegaskan bahawa mulai saat ini mana-mana individu yang dianugerahkan gelaran Dato’ Dato’Indera, Dato’ Sri atau yang seumpamanya tetapi terbukti terlibat dalam kes jenayah, rasuah pencerobohan tanah, perlombongan haram, pembalakan tanpa permit akan dikenakan tindakan penggantungan atau penarikan balik gelaran secara serta-merta,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurnian Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Sultan Pahang di Istana Abdulaziz di sini hari ini.
Sultan Pahang turut memaklumkan setakat ini terdapat seramai 49 daripada 67 individu yang “menunggu giliran” untuk proses penarikan semula darjah kebesaran yang telah dikurniakan sebelum ini, melibatkan pelbagai pelanggaran.
Segelintir individu tanpa segan silu “memetik” nama baginda selaku Sultan Pahang atau mengaitkan nama Istana Pahang kononnya mendapat restu, perkenan atau perlindungan sedangkan perkara itu tidak pernah wujud.
Menyentuh mengenai pencerobohan tanah haram baginda mahu seluruh jajahan negeri diperiksa, disiasat dan dikuatkuasa dengan penuh ketegasan selain tindakan serta penguatkuasaan diperluas ke seluruh negeri.
“Beta tidak mahu industri pertanian Pahang terutamanya industri durian yang menjadi kebanggaan menerima nasib seperti di negara jiran yang kini dimonopoli dan tidak lagi berdaya saing akibat pengurusan tanah yang lemah dan dasar yang ragu-ragu,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda menzahirkan dukacita terhadap pihak yang memilih untuk menjadi pembakar api bukannya penyejuk suasana, malah ada yang secara halus meniup bibit perpecahan antara kaum dan agama.
“Beta menyeru khususnya kepada anak muda jadilah pengguna media sosial yang bijaksana. Gunakan suara dan jari kalian untuk membina bukan memecah serta untuk menyatu bukan menyingkir,” titah Al-Sultan Abdullah.
Baginda turut mengenai aspek kesihatan dan mahu pembinaan Hospital di Maran disegerakan kerana ia bukan lagi bersifat pilihan, tetapi satu keperluan yang mendesak dan nyata.
Al-Sultan Abdullah bertitah Pahang juga mesti menjadi sebuah negeri yang mesra perusahaan kecil dan sederhana, membuka peluang kepada pelbagai bidang serta perusahaan dari seluruh negara dan usahawan tidak seharusnya terhalang oleh kerenah birokrasi.
Menerusi titah diraja itu, baginda berharap supaya kerajaan negeri menambah baik, meluaskan dan mengemas perlaksanaan program Inisiatif Makmur Pahang selain bantuan bersasar mesti dipertingkat, dana kebajikan mesti ditambah, bantuan makanan, latihan pekerjaan dan perumahan perlu diperluas.
© New Straits Times Press (M) Bhd