nfazlina@nstp.com.my
Tumpat: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sepucuk pistol bersama 35 butir peluru selepas melakukan serbuan terhadap sebuah rumah di Kampung Pauh Seratus, Pengkalan Kubor, tengahari kelmarin.
Serbuan dilakukan Batalion 7 jam 1.30 tengah hari itu menahan dua individu masing-masing seorang lelaki dan perempuan warga Thailand berusia 30 dan 40 tahun.
Komander Briged Tenggara PGA, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata hasil serbuan berkenaan mendapati lelaki dan wanita berkenaan tidak memiliki lesen senjata api.
“Hasil pemeriksaan menemui sepucuk pistol jenis Revolver 0.38 bersama 35 butir peluru hidup dan aksesori pistol lain di dalam rumah suspek.
“Hasil rampasan diserahkan kepada BSJ IPD Tumpat untuk tindakan lanjut.
“Suspek lelaki tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api(PLB) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, dalam rampasan berasingan, Nik Ros Azhan berkata, pihaknya menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak petrol bersubsidi yang dikesan di pangkalan haram Sarang Burung, di sini, petang kelmarin.
Katanya, rampasan jam 6.30 petang itu menemui beberapa tong minyak di tebing sungai semasa melakukan rondaan dalam Op Taring WAWASAN Kelantan di sini.
“Hasil pemeriksaan mendapati tong minyak mengandungi 240 liter petrol dipercayai untuk diseludup masuk ke negara Thailand.
“Hasil rampasan diserahkan kepada KPDN Kelantan untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd