am@hmetro.com.my
Shah Alam: Lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas dan terjatuh dari ‘flyover’ pada ketinggian 21 meter di susur 1/B 0.5 Lebuhraya Dash, dekat sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang apabila motosikal jenis Yamaha YZF-R15 yang ditunggang mangsa dari Persiaran Mokhtar Dahari melalui Susur 1/B 0.5 Lebuhraya Dash dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh lalu terbabas dan melanggar ‘divider flyover’.
“Impak dari kemalangan itu menyebabkan mangsa terjatuh ke bawah flyover pada ketinggian kira-kira 21 meter ke kawasan berumput di Persiaran Pulau Angsa.
“Akibat kemalangan, mangsa parah di kepala dan kaki dan disahkan maut di tempat kejadian.
“Siasatan juga mendapati, ketika kejadian mangsa, 23 yang di sebuah syarikat swasta dalam perjalanan dari rumah di Kampung Melayu Subang ke bengkel servis motosikal di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Iqbal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Mana-mana saksi bebas atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman di talian 012-2836851,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd